Suri Rumah Ditipu RM20,000, Konon Untuk Jamin Suami Dilokap

IPOH – Oleh kerana mahu menjamin suaminya yang dikatakan ditahan polis, seorang suri rumah di Batu Gajah kerugian RM20,000.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, ACP Shahron Anuar Abdul Latif berkata kejadian berlaku Isnin lepas apabila mangsa berumur 35 tahun menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memberitahu suaminya telah ditahan pihak polis kerana terlibat dengan kes dadah.

Beliau berkata suspek memberitahu bahawa suami mangsa boleh dijamin menerusi pembayaran RM20,000 ke dalam dua akaun bank.

“Mangsa kemudiannya memasukkan RM7,000 di cawangan sebuah bank di Batu Gajah dan RM13,000 di sebuah bank lain,” katanya.

Namun tidak lama kemudian suami mangsa menelefonnya dan memberitahu dia berada di tempat kerja dan tidak pernah ditahan, katanya.

Mangsa kemudiannya membuat laporan polis.

Shahron Anuar berkata semakan ke atas dua akaun berkenaan mendapati kesemua wang itu telah dikeluarkan di Cheras, Kuala Lumpur.

Suspek sedang dikesan. – BERNAMA