ALOR SETAR - Kira-kira dua hari lalu, umat Islam di seluruh negara menjadi kecoh apabila Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengumumkan bahawa sijil pengesahan
halal restoran terkenal, Secret Recipe ditarik balik.
Itu cerita tentang restoran tersebut yang ditarik pensijilan halalnya kerana tidak menitikberatkan kebersihan.
Melalui ruangan Twitter, seorang individu telah memanjangkan isu
tersebut dengan mengajukan soalan status halal restoran makanan Jepun
terkenal, Sushi King kepada akaun JAKIM.
“Bagaimana dengan sijil halal sushi king? Halal atau tidak ya? Mohon pencerahan. Terima kasih,” tulisnya.
Jawapan yang diterima individu berkenaan sememangnya mengejutkan dan rupa-rupanya restoran tersebut tidak memiliki status halal
dari pihak JAKIM setakat ini.
“Sushi King tiada status halal setakat ini.” tulis JAKIM, menjawab persoalan yang dilontar di laman sosial itu.
Kami difahamkan bahawa restoran tersebut sering menjadi pilihan ramai orang
Islam kerana variasi sushi yang dijual serta tawaran harga yang
berpatutan.
Namun, tanpa sesiapapun sedar atau ‘tak peduli’, rupa-rupanya Sushi King masih lagi belum memiliki status halal.
Walau bagaimanapun, pihak JAKIM tidak menyatakan sebab restoran
terbabit tidak memiliki status halal sama ada pihak berkenaan tidak
memohon ataupun spesifikasi yang ditetapkan JAKIM gagal diikuti Sushi
King atau sebagainya.
Sebagai umat Islam, kita diwajibkan memilih makanan yang bersih, suci serta bebas dari sebarang unsur haram.
Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, menjelaskan bahawa Rasulullah S.A.W
melarang umatnya untuk mengambil makanan syubhah kerana ditakuti
terambil makanan yang haram.
Namun pada kami, tidak salah sekiranya Sushi King atau mana-mana premis perniagaan makanan tidak memiliki status halal dari sudut perundangan dan tidak difatwakan haram bagi umat Islam di negara ini makan di restoran yang tidak mempunyai status halal dari JAKIM.
Apapun, tepuk dada tanya selera. Berani makan, beranilah tanggung akibatnya dari sudut perundangan mahupun hukum hakam, kan? - Kedahnews.com