Suspek Kes Sepak Pelajar Kolej Sampai Mati Dikatakan Ada Silat, Tomoi

Sumber dari Harian Metro
ALOR SETAR - Susulan dari kes seorang pelajar Kolej Vokasional di Bachok, Kelantan, Mohamad Nor Akram Zime, 16, yang disyaki maut selepas disepak ketika sedang tidur awal pagi semalam, suspek kes tersebut dikatakan memiliki ilmu pertahanan diri silat dan tomoi.

Kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada sifat senioriti di mana suspek berasakan dirinya tidak dihormati sehingga bertindak menendang mangsa di bahagian kepala ketika sedang tidur.

Akibatnya, mangsa tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia selepas dikejarkan ke sebuah klinik kesihatan.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Kelantan Hussain Awang berkata, pihak pengurusan sekolah terutama guru besar dan pengetua harus mempergiatkan pemantauan terhadap gejala tersebut dalam kalangan pelajar agar situasi sama tidak berulang.

“Kejadian yang menyebabkan kematian pelajar adalah sesuatu yang serius dan mengejutkan. Perkara ini perlu dijadikan pengajaran penting buat semua pihak termasuk pihak sekolah dan pengajar.

“Ia tidak sepatutnya berlaku kerana bukan hanya memberi kesan yang besar kepada keluarga mangsa tetapi juga menjejaskan masa depan suspek,”katanya yang dipetik dari Bernama.

Hussain turut berkata, budaya senioriti di sekolah tidak boleh dijadikan alasan untuk melakukan sesuatu tindakan sehingga mendatangkan kecederaan, apatah lagi membawa maut.

Dalam kejadian tersebut Mohd Nor Akram ditendang di bahagian kepala sebanyak dua kali dan tindakan tersebut telah menyebabkan urat kepalanya terputus.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Wakaf Berangan, Pasir Puteh, Kelantan hari ini. -Kedahnews.com