NAYPYITAW —
Perlucutan kad pengenalan penduduk yang disebut sebagai kad putih bagi
etnik Rohingya oleh pemerintah Myanmar mungkin salah satu faktor
membuatkan mereka nekad melarikan diri dari negara itu.
Sekitar 300,000 kad putih; bukti terakhir yang menunjukkan mereka
sebagai rakyat Myanmar, sudah diminta dikembalikan balik oleh pihak
berkuasa junta Myanmar dan perkara itu mungkin bermula sejak 31 Mac
lalu.
Sebenarnya jika memiliki kad identiti itu, masyarakat Rohingya masih
memiliki beberapa hak sebagai warga negara, antara lain boleh terlibat
dalam proses demokrasi menerusi sistem pilihan raya tempatan.
MESRA. Syed Hamid Albar bersalaman dengan etnik Rohingya yang menetap di Malaysia. – Gambar hiasan |
Majoriti etnik Rohingya, yang jumlahnya 1.3 juta sehingga 1.5 juta
orang dilaporkan tinggal di negeri Rakhine yang dahulunya disebut
sebagai Arakan; dekat kawasan sempadan antarabangsa antara Myanmar dan
Bangladesh.
“Mereka sudah dianggap bukan warga negara Myanmar, setelah tiada lagi
dokumen rasmi pengenalan itu,” kata Duta Khas Pertubuhan Kerjasama
Islam (OIC) ke Myanmar, Tan Sri Syed Hamid Albar kepada stesen BBC.
“Apabila tidak ada dokumen maka tiada lagi tempat bagi mereka
menetap, bergerak pun tidak boleh. Pergi dari satu tempat ke tempat lain
pun tidak boleh seumpama pendatang asing,” tambah bekas Menteri Luar
Malaysia itu.
SERIUS. Syed Hamid Albar beramah mesra dengan masyarakat Rohingya yang berada di Malaysia. – Gambar hiasan |
“Malah di Myanmar ada undang-undang pemerintah yang menyekat
pergaulan, sekali gus menyekat ‘cinta’ jika tiada kad putih tersebut.
Maka sejak itu, mereka akhirnya terpaksa cari jalan keluar,” jelas Syed
Hamid lagi.
Ekoran disisihkan di negara sendiri, etnik Muslim itu memutuskan
untuk meninggalkan Myanmar dengan menumpang kapal atau bot yang
diuruskan sindiket pemerdagangan manusia dan destinasi utama: Malaysia.
Setakat ini, Pulau Langkawi kerana lokasi paling utara dekat sempadan
Thailand; telah menyaksikan 1,107 pelarian Rohingya yang kemudian
ditempatkan di Depoh Tahanan Jabatan Imigresen di Belantik, Kedah.
Gambar hiasan |
Dianggarkan 1,800 orang etnik itu berjaya diselamatkan di wilayah
Aceh, Indonesia melalui tiga gelombang berbeza, namun ribuan lagi
dipercayai masih terdampar di laluan perairan Laut Andaman dan Selat
Melaka.
Jika diimbas dari segi waktu, tampaknya terdapat hubungan rapat
antara tempoh waktu pelaksanaan penarikan kad putih itu dan jarak masa
perjalanan ribuan pelarian yang mengaku mula belayar kira-kira dua bulan
lalu.
Seorang anggota parlimen Myanmar dari etnik Rohingya, Shwe Maung,
mendakwa, pemberian kad putih itu tidak berlaku setelah golongan
nasionalis dan pelampau Buddha melancarkan protes keras pada Februari
lalu.
Gambar hiasan |
Padahal, pemerintah Naypyitaw baharu sahaja mengesahkan rancangan
undang-undang kebangsaan yang menyatakan bahawa pemilik kad tersebut
mempunyai hak sebagai pengundi sah dalam proses pilihan raya.
Pada waktu itu, junta Myanmar memberi jaminan, akan membentuk sebuah
suruhanjaya bagi mengkaji kad putih tetapi bertindak melucutkan dokumen
tersebut pula, sekali gus menyebabkan kaum Rohingya mula resah.
“Masih tidak jelas, jenis kad warna apa lagi yang akan diberi kepada
Rohingya, walhal etnik lain telah pun diiktiraf sebagai penduduk rasmi
Myanmar. Namun, Rohingya belum ada lagi taraf kerakyatan sampai
sekarang,” ujar Shwe.
Gambar hiasan |
Junta Myanmar memberi alasan, proses pengurungan secara paksa itu dilakukan demi melindungi keselamatan penduduk Rohingya daripada amukan kelompok ekstremis Buddha yang amat benci kepada umat Islam.
Malangnya, tanpa kad putih, etnik Rohingya boleh ditangkap dan dimasukkan ke penjara menjelang pilihan raya umum Myanmar yang dijadualkan pada Oktober atau November depan kerana dianggap orang asing.
Gambar hiasan |
“Jika kekal di Myanmar, mereka akan dihumban ke penjara. Nyawa
terancam dan hak demokrasi mereka sudah dilucut,” kata Mohammad Sadek,
pengurus Jawatankuasa Pelarian Rohingya Arakan (RARC) kepada BBC.
“Oleh itu, etnik Rohingya menganggap, sekarang waktu terbaik tepat
untuk menyelamatkan diri kerana bagi junta Myanmar, kami dianggap macam
pendatang haram dari Bangladesh,” kata Sadek. — Agensi