KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan penerbitan
empat buku tulisan penulis kontroversi Faisal Tehrani kerana ia
didapati mengandungi unsur-unsur penyebaran ajaran Syiah dan
bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Buku berkenaan ialah ‘Sebongkah Batu di Kuala Berang’ yang
diterbitkan oleh PTS Litera Utama Sdn Bhd, ‘Karbala’ yang diterbitkan
oleh Abeerden Books World, ‘Tiga Kali Seminggu’ dan ‘Ingin Jadi
Nasrallah’ yang kedua-keduanya diterbitkan oleh Al-Ameen Serve Holdings
Sdn Bhd.
Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran KDN Hasmimah
Nik Jaafar berkata buku-buku itu dikenakan Perintah Larangan Penerbitan
berkuat kuasa 1 April kerana mengandungi unsur-unsur yang memudaratkan
ketenteraman awam dan keselamatan.
Pewartaan Perintah Larangan itu adalah menurut seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Menurut subsyeksen 2 Seksyen 8 akta sama, mana-mana pihak yang
didapati mencetak, mengimport, menjual dan memiliki buku-buku tersebut
di dalam negara boleh dikenakan tindakan penjara tidak melebihi tiga
tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali. –
BERNAMA