Tabung Haji Jawab Tohmahan "Macai", TRX Terbukti Berbaloi

KUALA LUMPUR – Pelaburan Tabung Haji (TH) dalam pembangunan hartanah bagi pembangunan menara kediaman (hartanah) di pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX) di sini sejajar dengan strategi pelaburan hartanah TH dalam sektor domestik. 

Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Johan Abdullah berkata, pelaburan itu merupakan keputusan komersial yang menepati selera risiko dan telah melalui semua proses penilaian dalaman secara terperinci.

“Pembelian hartanah pada harga RM188.5 juta adalah pada kadar diskaun berlandaskan nilai pasaran semasa dan ia telah dinilai oleh sebuah badan penilai bebas profesional.

“Cadangan pembangunan kediaman tersebut akan dibangunkan oleh anak syarikat, TH Properties Sdn. Bhd. yang dijangka akan memberi pulangan positif kepada Kumpulan TH pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini. 

Johan dalam pada itu menafikan dakyah pihak tidak bertanggungjawab kononnya pembelian Signature Tower (Fasa 2) oleh Kumpulan TH seperti yang dilaporkan di dalam blog-blog tertentu. 

Sehubungan itu, beliau membidas kebocoran maklumat melalui kertas cadangan tidak boleh dijadikan sebagai bukti keputusan muktamad pelaburan tersebut oleh mana-mana pihak. 

“TH akan terus meneroka peluang-peluang pelaburan yang seumpamanya di dalam pasaran domestik seperti yang digaris dalam rangkakerja Alokasi Aset Strategik,” katanya. -Kedahnews.com