KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji kekal dengan keputusan untuk
menjual tanahnya seluas 0.63 hektar di pusat kewangan, Tun Razak
Exchange (TRX).
Pengerusinya Datuk Seri Abdul Azeez Abd Rahim berkata transaksi
berkenaan sedang dalam proses untuk dimuktamadkan dan akan membolehkan
Tabung Haji memperoleh sedikit keuntungan.
“Kita telah buat keputusan jual dan telah ada pembeli,” katanya
kepada pemberita selepas menyerahkan hadiah kepada johan qari dan qariah
Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali ke-58 di sini, hari
ini.
Tabung Haji membeli tanah tersebut dengan harga RM188.5 juta.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan identiti pembeli tanah berkenaan.
“Kita akan maklumkan dalam masa terdekat ini selepas kita muktamadkan penjualan,” katanya.
Pada 9 Mei lalu, Tabung Haji memutuskan untuk menjual tanahnya di TRX
atas nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas
pembelian tanah berkenaan dari 1Malaysia Development Bhd menerima reaksi
yang pelbagai dari orang ramai sehingga mencetuskan kegusaran dalam
kalangan pendeposit Tabung Haji.
Sementara itu, qari dari Kelantan, Wan Ainuddin Abdullah, 33, dan
qariah dari Pahang, Siti Husnaa Hassan, 23, menerima sebuah kereta
Proton Preve setiap seorang, dengan nilai keseluruhan hadiah berjumlah
hampir RM124,000, selepas muncul juara qari dan qariah tilawah Al-Quran
peringkat kebangsaan.
Tilawah berkenaan yang berakhir pada 25 April lalu diadakan di
Kompleks Pusat Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dengan
tema “Perpaduan Nadi Transformasi Negara”. – BERNAMA