Gambar Hiasan |
MELAKA – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendedahkan bahawa
seramai 1,300 wanita di negara ini mengetuai kongsi gelap dan melakukan
aktiviti samseng.
Dakwanya, kumpulan kongsi gelap wanita ini menjadikan pelajar sekolah
perempuan sebagai sasaran utama bagi menambah ahli kumpulan.
Menurut laporan Pertubuhan Anti Jenayah Bersatu Malaysia (UMCPO) yang
bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri, sekurang-kurangnya 12
peratus daripada keahlian kumpulan-kumpulan kongsi gelap adalah daripada
golongan wanita.
Pengerusi UMCPO, Datuk A. Balakrishnan berkata kumpulan-kumpulan
seperti 36, 21, 24, 555, 303, 04, 08 dan Satu Hati mempunyai golongan
wanita sebagai ahli yang memberikan perlindungan kepada pelajar sekolah
perempuan dengan mengenakan bayaran.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Asisten
Komisioner, P R Gunarajan mengesahkan bahawa kumpulan kongsi gelap
wanita membuat pemantauan di beberapa buah sekolah untuk menambah ahli
kumpulan.
“Mereka merupakan sebahagian daripada kumpulan besar dan bertindak sebagai salah seorang penolong kanan.
“Golongan wanita ini mahu dikenali sebagai “tai kah cheh dan akka”
(kakak besar) dan pasukan saya sedang memantau aktiviti mereka.
“Pegawai-pegawai di sini sering berhubung dengan pihak sekolah untuk
mengelakkan daripada pelajar sekolah perempuan diambil sebagai ahli
kumpulan yang baharu,” kata Gunarajan.
Balakrishnan juga menjelaskan pihak polis telah memaklumkan bilangan
murid perempuan dan wanita yang menjadi sebahagian daripada
kumpulan-kumpulan tersebut.
“Wanita-wanita ini terlibat dalam pergaduhan dan mengugut murid
perempuan yang lain untuk membayar yuran keahlian kumpulan itu,”
katanya.
Balakrishnan berkata berdasarkan statistik oleh Ibu Pejabat Polis
Bukit Aman, jenayah kekerasan yang melibatkan kanak-kanak perempuan dan
wanita telah meningkat dan 10 peratus daripada kesalahan-kesalahan yang
dilakukan termasuk rompakan dan jenayah berkaitan dadah yang dilakukan
pada tahun lalu.
Menurut Balakrishnan juga, peningkatan laporan mengenai kes buli
wanita menunjukkan bahawa mereka juga boleh bertindak ganas seperti
lelaki.
Dalam pada itu, Pengerusi Sektor Swasta Melaka, Jawatankuasa Sumber
Manusia dan NGO, Datuk M.S. Mahadevan berkata pihak negeri itu telah
memohon bantuan daripada golongan wanita dari pertubuhan bukan kerajaan
untuk menangani kes keganasan dikalangan murid perempuan.
Menurut Mahadevan, kumpulan-kumpulan seperti 36, 04, dan kumpulan
baharu yang ditubuhkan di Johor Bahru iaitu Sorna Sisters kini aktif
mencari keahlian baru.
Mahadevan juga menjelaskan, dia sudah melihat paparan video aksi kumpulan kongsi gelap wanita di beberapa kawasan di Melaka.
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam
Thye berkata dia telah memberi amaran mengenai keganasan murid perempuan
empat tahun lalu.
Menurut Lee, insiden buli dan tindakan ganas yang melibatkan pelajar
lelaki dan perempuan baru-baru ini perlu dilihat dengan lebih serius.
“Apa yang membimbangkan adalah budaya keganasan ini semakin membesar
dalam masyarakat kita serta institusi pendidikan,” kata Lee.
Bagaimanapun, Lee juga berkata kajian perlu dibuat untuk menentukan jumlah ketua kumpulan kongsi gelap wanita di negara ini. – mStar