Anggota polis berjaya menahan salah seorang pesalah trafik ketika melakukan serbuan Ops Warta yang bermula hari ini. - Foto BERNAMA |
KUALA LUMPUR – Seramai 69 pesalah trafik yang telah dikenakan waran
tangkap ditahan selepas Ops Warta dimulakan di seluruh negara sejak awal
pagi tadi.
Timbalan Ketua Trafik Bukit Aman, ACP Mahamad Akhir Darus berkata
daripada jumlah itu, sebanyak 36 tangkapan dibuat di Pulau Pinang, 24 di
Melaka dan selebihnya di negeri lain.
Manakala untuk tempoh sama, beliau berkata seramai 44 pesalah trafik
yang telah dikenakan waran tangkap tampil ke balai untuk menyerah diri.
“Ini termasuk 39 di Sarawak, dua di Terengganu dan tiga di Sabah,”
katanya pada sidang media selepas menyertai operasi Ops Warta bersama
media di beberapa premis pekerjaan di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Bernama yang turut mengikuti operasi itu mendapati
terdapat pesalah trafik yang tidak berada di premis tempat kerja mereka
atas alasan mengambil cuti sakit dan cuti kecemasan.
Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Mohd Fuad Abdul Latiff turut
memaklumkan beliau mendapat maklum balas yang sama daripada pasukan
terlibat dalam operasi di negeri-negeri lain, seluruh negara.
“Mungkin mereka (pesalah trafik) ini dah hidu…saya ingatkan kepada
mereka ini, bahawa mereka ini tidak akan boleh ambil cuti sakit atau
cuti kecemasan selama-lamanya.
Eloklah daripada kami yang mencari, mereka menyerahkan diri di balai-balai berdekatan,” katanya.
Selain premis tempat kerja, Mohd Fuad berkata buat masa ini operasi
juga ditumpukan kepada sekatan jalan raya, sebelum fokus diberikan
kepada mengesan kediaman pesalah-pesalah trafik ini.
“Sekiranya respons dan tahap pencapaian kami di tahap kurang
memuaskan(untuk premis tempat kerja dan sekatan jalan), sehingga tiba
tahap itu, baru kami akan ke rumah-rumah. Kami tahu pergerakan mereka,
insya-Allah beri masa, kami akan kesan mereka,” katanya.
Ditanya mengenai sasaran, beliau berkata pihaknya tidak meletakkan
sasaran harian tetapi berazam mengesan kesemua 1.59 juta waran tangkap,
termasuk sekiranya perlu, mengadakan operasi setiap hari, termasuk pada
waktu malam dan hari minggu.
Mengulas lanjut mengenai operasi hari ini, Mohd Fuad berkata
kesemuanya berjalan lancar, tiada pergelutan berlaku dan kesemua pesalah
trafik yang ditahan memberikan kerjasama kepada pihak polis.
Ditanya mengenai prosedur operasi standard (SOP) ke atas pesalah
trafik yang ditahan di dalam Ops Warta, beliau memaklumkan setiap
pesalah trafik yang ditahan akan dibawa ke balai berdekatan, sebelum
kertas pertuduhan ke atas mereka disiapkan untuk dibacakan di mahkamah.
“Kalau kita tangkap pagi, mahkamah masih bersidang pada petang,
sekiranya tangkap petang dan mahkamah tutup kalau ikut SOP waran tangkap
mereka akan dibawa ke lokap sementara, melainkan kita bagi mereka bawa
penjamin,” katanya.
Ops Warta dilancarkan bagi mengesan pesalah trafik yang mempunyai
status waran tangkap yang belum diselesaikan dan jumlah 1.59 juta
merupakan baki daripada 1.8 juta saman seperti diumum Ketua Polis Negara
Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam Ops Selamat 5 yang dilancarkan semasa
Hari Raya Aidilfitri tahun lepas. – BERNAMA