ALOR SETAR - Mendakwa dirinya dinafikan hak untuk mengundi di Pilihanraya Kecil (PRK) Permatang Pauh oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor telah memfailkan saman terhadap agensi pilihanraya itu.
Memetik dari Berita Harian, Anwar yang kini merupakan banduan di penjara Sungai Buloh telah memfailkan samannya terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, menerusi peguamnya, N Surendren.
Difahamkan bahawa dalam penyata tuntutan saman tersebut, Anwar memohon deklarasi bahawa beliau mempunyai kelayakan sebagai pengundi dan membuang undi.
Profesor Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff sebelum ini telah melahirkan rasa pelik beliau terhadap permintaan Anwar dan PKR untuk membolehkan banduan itu mengundi pada 7 Mei di Permatang Pauh, esok.
Dr Agus menegaskan umumnya semua tahu bahawa status Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim yang kini merupakan banduan penjara setelah disabitkan melakukan jenayah adalah jelas tidak
dibenarkan menjadi pengundi melalui perlembagaan.
Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu juga yakin bahawa PKR sebenarnya tahu tentang ketidaklayakan Anwar untuk mengundi, tetapi sengaja untuk mensensasi isu tersebut. - Kedahnews.com