Tengku Puan Pahang Antara Chef Selebriti Sertai ‘Festival Kuala Lumpur Big Kitchen 2015′

KUALA LUMPUR – Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah adalah antara chef selebriti di ‘Festival Kuala Lumpur Big Kitchen 2015′ selama tiga hari bermula 29 Mei ini di Dataran Merdeka di ibu negara.

Baginda akan mempersembahkan hidangan kegemaran tempatan iaitu Nasi Kuning Opor Ayam Kacang pada hari terakhir festival, 31 Mei, kata Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib.

Berucap pada majlis pengumuman rakan penaja bersama dan Trofi Datuk Bandar festival itu pada Rabu, Ahmad Phesal berkata kehadiran baginda adalah atas kerjasama syarikat penerbangan Malaysia Airlines “yang menjadikan festival ini sebagai platform untuk mereka mempromosikan jalinan kerjasama mereka bersama Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang.”

Beliau berkata baginda telah menghasilkan menu eksklusif iaitu ‘Dari Dapur Istana” khusus untuk penerbangan luar Kuala Lumpur sepanjang tahun ini.

Festival makanan ini yang julung kali diadakan dan dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan turut menawarkan orang ramai untuk menikmati lebih 119 jenis makanan.

Resepi dihasilkan secara eksklusif oleh chef tempatan dan antarabangsa, katanya.

Beliau berkata antara chef antarabangsa yang akan turut serta ialah Chef Christian Mettermeier, pemenang Bintang Michelin (Michelin Star) yang dibawa oleh syarikat pengeluar barangan elektrik Electrolux.

Sementara chef tempatan yang akan hadir antaranya terdiri daripada Chef Wan, Chef Datuk Ismail Ahmad, Chef Malcom Goh dan Chef Dr Ezani.

Ahmad Phesal berkata tiga pertandingan akan diadakan sempena festival itu iaitu pertandingan KL Big Kitchen Big Race, KL Signature Mocktail dan KL Signature Dish.

Beliau berkata selain masakan, pelbagai bentuk hiburan juga diadakan termasuk pemuzik jalanan, dan persembahan artis tempatan seperti Zainal Abidin, Shafinaz Selamat, Dafi dan Najwa Latif. – BERNAMA