Tentera AS Tidak Sengaja Hantar Antraks Ke Australia?

Antraks
CANBERRA — Ketika media Australia ‘heboh’ cerita pejabat Konsul Besar Indonesia di Sydney, Melbourne dan Perth menerima bungkusan berisi serbuk antraks yang disahkan palsu, kali ini kuman itu benar-benar wujud.

Agensi berita antarabangsa Reuters melaporkan pihak tentera Amerika Syarikat (AS) secara tidak sengaja pernah telah menghantar beberapa sampel antraks hidup pada 2008 lalu kepada sebuah makmal saintifik di Australia.

Pendedahan terbaharu itu susulan skandal tentera kuasa besar dunia tersebut pada Khamis tersilap menghantar kuman maut berkenaan kepada makmal di 11 buah negeri di AS serta sebuah lagi di Korea Selatan awal tahun lalu.


Seorang pegawai Jabatan Pertahanan AS atau Pentagon di Washington DC yang enggan didedahkan berkata, mereka tidak pasti makmal apakah di Australia menerima sampel itu sama ada milik tentera atau pihak awam.

Namun ujarnya, seperti juga kes kesilapan penghantaran yang terbongkar baru-baru ini, kesemua makmal di AS selain sebuah pangkalan udaranya di Osan, Korea Selatan itu menerima antraks daripada jenis tidak lagi aktif.

Pentagon segera melancarkan siasatan terperinci berhubung kes aneh itu dan laporan awal menunjukkan contoh kuman hidup berbahaya tersebut dihantar markas tentera darat AS di Dugway Proving Ground, Salt Lake City, Utah.


Bagaimanapun Pentagon menasihatkan saintis di kesemua makmal berkenaan agar segera menghentikan sebarang kerja penyelidikan ilmiah terhadap sampel kuman yang tersilap hantar tersebut atas faktor risiko keselamatan.

Setakat ini Pentagon mengesahkan tiada mana-mana individu yang dijangkiti antraks ekoran kesilapan berkenaan dan kuman itu juga didapati tidak tersebar kepada masyarakat tempatan di sekitar kawasan makmal terbabit.

Sehingga kini dianggarkan sebanyak 24 buah makmal di 11 buah negeri di AS selain makmal tenteranya di luar negara dipercayai menerima sampel maut tersebut yang dihantar pada 2014 lalu. — Agensi