KUALA LUMPUR – Kes seorang ibu tunggal beranak empat yang dibunuh
oleh kekasihnya kerana sering mendesak kekasihnya untuk berkahwin,
menarik perhatian ramai.
Apatah lagi kekasihnya itu merupakan seorang guru agama yang belum berkahwin dan lebih muda daripadanya.
Turut dilapor ialah kes seorang wanita yang dibunuh tunangnya dengan
dicekik dan dihumban dari atas jambatan dan pada wanita tersebut turut
terdapat nota yang menceritakan masalah yang dihadapinya.
Diminta mengulas terutama mengenai kes membunuh kerana diajak
berkahwin, pendakwah bebas Ustaz Halim Din berkata dengan tidak
mengambil kira faktor-faktor khusus yang tidak diketahui puncanya,
secara umum kejadian mungkin disebabkan krisis emosi yang melibatkan
masalah dalaman.
“Mereka ada kalanya bukan tidak mempunyai iman (dalam kes guru
agama), tetapi ia disebabkan dorongan nafsu amarah atau nafsu binatang
(bahimiah),” katanya kepada Bernama.
Beliau juga berkata tertekan kerana kos dan belanja perkahwinan yang
kian meningkat juga boleh menjadi bebanan kepada pasangan yang mahu
berkahwin.
“Namun hakikatnya, jika kita kembali kepada agama, perkahwinan itu
sepatutnya dipermudahkan, bukan disusahkan dengan perkara-perkara
seperti hantaran yang tinggi dan sebagainya,” katanya.
Dari sudut psikologi, Pakar Perunding Kanan Psikiatri Universiti
Teknologi MARA (UiTM), Prof Dr Osman Che Bakar menyifatkan tindakan
membunuh berpunca daripada ketidakmampuan manusia mengawal kemarahan dan
emosi.
Beliau berkata individu yang mempunyai masalah psikiatrik akan mudah marah dan membuat keputusan yang tidak masuk akal.
“Mereka ini (apabila gagal mengawal emosi marah), tidak terfikir pun
bahawa tindakan mereka akan membawa mereka ke ‘tali gantung’. Inilah
yang dikatakan ‘impulse control disorder’ yang bermaksud tergerak untuk
membuat sesuatu perkara yang memudaratkan.
“Terdapat juga individu yang tidak tahu mengenal pasti masalah mereka
dalam keadaan marah. Mereka ini gagal mengawal tekanan dan kemarahan
dan inilah yang dikaitkan dengan masalah psikiatrik,” katanya.
Osman tidak menolak keadaan semasa terutama membabitkan kos sara
hidup yang kian meningkat mungkin antara faktor penyumbang kepada
permasalahan, namun ia bukan alasan konkrit untuk mana-mana pihak
bertindak di luar jangkaan sehingga sanggup membunuh. – BERNAMA