Terlalu Ghairah Mahu Jatuhkan Najib, Dia Suruh Saya Letak Jawatan

KUALA LUMPUR – “Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyuruh saya meletakkan jawatan dengan kadar segera kerana terlalu ghairah untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak”.

Demikian pendedahan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhubung pertemuannya dengan Mahathir di Yayasan Al-Bukhary ada 13 Mac lalu.

Beliau mengakui mencurahkan isi hati kepada Mahathir mengenai kekecewaannya dengan tugas dan tanggungjawab sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat dan menyatakan niat untuk meletakkan jawatan itu.

“Saya memaklumkan saya tidak akan mempengerusikan sesi Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-13 yang berlangsung pada 11 Mac hingga 9 April 2015 ketika itu.

“Atas keghairahan Mahathir untuk menjatuhkan Najib sebagai Perdana Menteri, beliau bukannya menasihati saya untuk berjumpa dengan Perdana Menteri bagi membincangkan perkara yang dibangkitkan itu supaya permasalahan dapat diatasi dan dirungkai, sebaliknya beliau yang menyuruh saya meletakkan jawatan dengan kadar segera,” dedahnya dalam satu kenyataan hari ini.

Pandikar berkata, beliau bagaimanapun pada 19 Mac lalu bertemu dengan Perdana Menteri dan memaklumkan hasrat meletakkan jawatan serta menyerahkan surat rasmi peletakan jawatan bertarikh 18 Mac 2015.

Namun, katanya, Najib tidak menerima dan membaca surat tersebut sebaliknya mahu tahu sebab dan punca beliau meletakkan jawatan dan beliau menjelaskan sebab-sebab tersebut.

“Apa yang perlu diperjelaskan sebab untuk meletakkan jawatan bukan berpunca daripada masalah perabot atau kelengkapan Pejabat Speaker yang tidak sempurna atau perkara-perkara remeh lain. Jauh sekali didorong oleh perasaan merajuk,” katanya.

Justeru, katanya, beliau tidak pernah memalukan Mahathir sebaliknya bekas Perdana Menteri itu yang mengaibkan diri sendiri tetapi menjelaskan Mahathir tidak berbohong dan beliau juga tidak berbohong dalam isu tersebut.