KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tidak akan
berkompromi jika terdapat unsur penipuan sepanjang prosiding siasatan
berhubung isu berkaitan syarikat pelaburan strategik kerajaan, 1Malaysia
Development Berhad (1MDB).
Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata pihaknya akan
bertindak tegas sekiranya terdapat tindakan menipu bertujuan melengahkan
prosiding siasatan melibatkan dua saksi, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)
1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy dan bekas CEO
Datuk Shahrol Halmi yang tidak hadir pada prosiding minggu lepas.
“Kali ini jika terdapat sebarang bukti mereka menipu kami, kami (PAC)
akan lebih agresif daripada biasa,” katanya pada sidang akhbar selepas
mengadakan pertemuan dengan pegawai kanan Kementerian Pertahanan di
bangunan Parlimen di sini, hari ini.
Menjelaskan isu itu, Nur Jazlan berkata beliau tidak dapat
mengesahkan dakwaan bahawa kedua-dua saksi penting berkenaan mempunyai
urusan di luar negara.
“Semua orang telah mendengar begitu banyak tuduhan, sindiran dan
macam-macam, dan mereka tidak tahu sama ada ia benar atau palsu dan ada
kecenderungan untuk mengisytiharkan beberapa orang yang bersalah.
“Bila mereka datang, kami akan tanya sama ada benar atau tidak mereka
tidak berada di dalam negara pada tarikh mereka sepatutnya berjumpa
kami,” katanya.
Beliau berkata semua pihak tidak seharusnya mendengar pelbagai
dakwaan berhubung isu 1MDB, sebaliknya membenarkan prosiding siasatan
dijalankan dengan sebaiknya.
Mengenai surat kepada Kementerian Kewangan pada 25 Mei lepas bagi
memanggil dua firma yang mengaudit 1MDB, katanya PAC belum boleh
mengesahkan kehadiran wakil daripada kedua-dua firma iaitu Firma
Deloitte & Co yang dijadual bertemu PAC pada 10 Jun sementara firma
KPMG pula dijadual hadir pada 17 Jun.
Terdahulu, Nur Jazlan berkata prosiding PAC hari ini memanggil
Kementerian Pertahanan bagi mendapat penjelasan mengenai pembinaan dan
pengurusan Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Jalan Padang
Tembak, di sini berikutan pembinaan bangunan bernilai RM103 juta itu
yang lewat siap.
Nur Jazlan berkata antara individu yang dipanggil ialah Ketua
Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Abd Rahim Mohd Radzi dan
Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Datuk Dr Rothiah Omar dan
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Datuk Mohammad Foad Abdullah.
"Ini jenis bangunan tinggi pertama yang dibina ATM.
"Inilah kali
pertama mereka dipertanggungjawabkan membina bangunan tinggi Wisma
Perwira yang tarikh mula buat pada 28 Ogos 2008, siap sebenar 19 Mac
2012 dan mengalami kelewatan masa 389 hari selain isu-isu lain yang dikenal pasti ialah kualiti
pembinaan, isu kontrak dan mengenai pemantauan bangunan itu," katanya.
Selain itu, Nur Jazlan berkata pihaknya juga akan memanggil dua
pegawai berkaitan isu pengurusan pembinaan Kolej Tentera Udara Diraja
Malaysia (TUDM) di Kepala Batas, Pulau Pinang serta pengurusan Prasarana
dan kemudahan Wisma Transit Tentera Darat di Kuala Lumpur. – BERNAMA