Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof |
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan meneliti cadangan
bagi mensyaratkan individu yang ingin menjadi wakil rakyat perlu
mendapat sekurang-kurangnya kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu
peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata cadangan itu perlu diteliti dari segi kesesuaian pelaksanaannya.
“Dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang SPR, tidak ada
peruntukan yang mensyaratkan calon pilihan raya perlu lulus kepujian
Bahasa Melayu,” katanya kepada Bernama.
Beliau mengulas cadangan ahli akademik Prof Dr Mohd Ridhuan Tee
Abdullah sebelum ini yang mahu SPR mensyaratkan mereka yang mahu menjadi
wakil rakyat bagi peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, perlu
sekurang-kurangnya mendapat kepujian Bahasa Melayu dalam SPM.
Mohd Ridhuan Tee turut mencadangkan agar wakil rakyat ditemuduga
mengenai penguasaan Bahasa Melayu dan sejarah kenegaraan sebelum
dibenarkan bertanding.
Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr
Rais Yatim dilapor sebagai berkata cadangan itu perlu disokong kerana
setiap pemimpin di negara ini perlu mampu bertutur dalam Bahasa Melayu
dengan baik. – BERNAMA