BUTTERWORTH – Naib Presiden PKR Tian Chua ditahan polis di Seberang
Jaya di sini, malam ini dipercayai bagi membantu siasatan berhubung
penglibatannya dalam perhimpunan BantahGST (Cukai Barang dan
Perkhidmatan (GST) di Kuala Lumpur semalam.
Anggota Parlimen Batu itu ditahan pada kira-kira 11.45 malam ini.
Menerusi akaun Twitternya, Tian Chua menyatakan beliau ditahan ketika
memandu di Seberang Jaya selepas menghadiri ceramah anjuran PKR sempena
pilihan raya kecil Permatang Pauh di Taman Tun Hussein Onn di sini.
Menurutnya beliau dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai
Tengah (SPT) di Bandar Perda dekat sini, sebelum sepasukan polis
membawanya ke Kuala Lumpur.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah SPT ACP Rusli Mohd Noor ketika
dihubungi Bernama mengesahkan penahanan Tian Chua namun enggan mengulas
lanjut.
Polis hari ini menahan lima lagi individu menjadikan jumlah
keseluruhan 35 individu ditahan bagi membantu siasatan berikutan
penglibatan mereka dalam perhimpunan BantahGST semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajudin Md Isa berkata berkata lima
yang ditahan itu termasuk Anggota Parlimen Seremban Anthony Loke Siew
Fook, Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli, aktivis Hishamuddin Rais dan
Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arutchelvan. –
BERNAMA