Tidak Abai Kakitangan MAS Yang Diberhentikan, Bantu Dapatkan Kerja Yang Sesuai


MARAN – Kerajaan memberi jaminan tidak akan mengabaikan kakitangan Malaysia Airlines (MAS) yang diberhentikan berikutan penyusunan semula syarikat penerbangan nasional itu.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata, kerajaan akan berusaha untuk mendapatkan peluang pekerjaan kepada mereka yang diberhentikan setelah MAS diambil alih Khazanah Nasional Bhd (Khazanah).

“Kerajaan mempunyai cara dan kaedah tersendiri dan berharap MAS dan Khazanah Nasional akan terus membantu mereka yang terdiri daripada pelbagai kumpulan kakitangan berpengalaman untuk beralih kerjaya yang mungkin ianya berbeza daripada kemahiran sedia ada masing-masing.

“Kerajaan tidak akan membiarkan para pekerja terbabit teraniaya kerana mereka mempunyai keluarga dan berpengalaman,” katanya.

Beliau bercakap demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Maran di Sekolah Menengah Seri Jengka dekat sini hari ini.

Ismail berkata, Kementerian Sumber Manusia berperanan mengurus dan membangunkan sumber tenaga pekerja termasuk memberi peluang mendapat dan membuat panduan pekerjaan dengan kelulusan dan kemahiran pemohon.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Maran selanjutnya berkata, Khazanah Nasional yang mengambil alih MAS mengumumkan pelan 12 perkara bagi memulihkan MAS termasuk memberhentikan kira kira 6,000 daripada 20,000 pekerja pelbagai peringkat pada Julai 2015.

Katanya, kabinet dan Lembaga Pengarah MAS telah memberikan kelulusan bagi rancangan tersebut bertujuan mewujudkan sebuah entiti yang lebih kukuh dan cekap.

“Kita juga berharap kakitangan MAS yang terlibat supaya bersedia untuk beralih kerjaya jika diberikan tawaran baharu kerana ia akan dapat memberikan peluang pekerjaan selain mendapat pendapatan bulanan untuk menampung perbelanjaan mereka,” katanya. – BERNAMA