Tidak Berhati Perut! Mayat Bayi Kembar Ditemui Dalam Almari Di Pulau Pinang

GEORGETOWN – Mayat bayi kembar perempuan dengan uri ditemui dalam sebuah almari terbiar di tingkat tujuh sebuah pangsapuri di Gat Lebuh Macallum di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatahrash Wahid berkata, kedua-dua bayi yang masih bertali pusat dan hanya dibalut dalam satu kain tuala itu ditemui pekerja pembersihan pada pukul 10.30 pagi.

“Tiada kesan darah atau kecederaan luar dikesan pada mayat bayi pramatang berusia lingkungan tujuh hingga lapan bulan itu dan mereka dipercayai baharu dilahirkan dan diletakkan di situ dalam tempoh kurang dari 24 jam.

“Polis percaya ibu kepada bayi berkenaan merupakan warga asing dan tinggal di blok yang sama dengan tempat mayat bayi itu ditinggalkan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, almari tidak berpintu itu dibuang di tepi lif blok berkenaan dan dibiar kosong sejak seminggu lepas.

Mior Faridalatahrash berkata, sehubungan itu, polis menahan tiga lelaki rakyat asing berusia antara 20-an dan 30-an yang tinggal di flat itu untuk membantu siasatan.

Beliau meminta pihak pengurusan klinik atau hospital yang mempunyai maklumat mengenai wanita yang baharu bersalin dan berkelakuan mencurigakan supaya menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Kawasan kejadian tidak mempunyai kamera litar tertutup dan mayat bayi kembar itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat, katanya. – BERNAMA