KOTA KINABALU – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam
Perkhidmatan Awam (CUEPACS) hari ini mengumumkan pendirian untuk terus
menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Presidennya, Datuk Azih Muda berkata CUEPACS akan berdiri teguh di
belakang kepimpinan Najib tanpa rasa prejudis dan berbelah bahagi.
“Kita minta Perdana Menteri untuk meneruskan tugas-tugas beliau dan
tidak perlu memikirkan perkara remeh-temeh yang mengganggu fikiran serta
tidak memandang kebelakang dan terus maju,” katanya kepada pemberita
dalam sidang akhbar selepas perhimpunan Hari Pekerja 2015 peringkat
negeri di sini, hari ini.
Azih menegaskan bahawa pendirian yang diambil oleh CUEPACS itu merupakan pendirian dan sokongan semua penjawat awam.
“Kita penjawat awam komited bersama-sama kerajaan dalam melaksanakan
pelbagai agenda khususnya untuk membantu golongan rakyat pelbagai
lapisan pendapatan termasuk kami penjawat awam,” katanya.
Menurutnya, hasrat CUEPACS adalah melihat impian kerajaan menjadikan Wawasan 2020 itu tercapai. – BERNAMA