Tidak Tunduk Pada Tekanan, Najib Tetap Teguh Jumpa Rakyat

Walaupun diasak segelintir pihak yang berkepentingan untuk melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri sebagaimana yang pernah dialami oleh mantan-mantan Perdana Menteri terdahulu, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan tunduk dan tetap bangkit mempertahan kedudukannya sebagai peneraju kepimpinan negara.

Jadual beliau dijangka seperti selalu, penuh dengan pelbagai aktiviti kerana bakal menjelajah ke seluruh negara bagi menyampaikan amanat penting itu kepada rakyat.

Memetik laporan MStar, Najib akan mengunjungi Perlis hujung minggu ini dan bertemu dengan pemimpin UMNO dan bakal menghadiri majlis makan malam di Dewan Wawasan 2020 di Kangar untuk menyampaikan Anugerah Desa Sejahtera 1Malaysia.

Sebelum ini, Najib telah membuat beberapa lawatan, antaranya di Kota Belud, Tawau, Johor Bahru, Gopeng dan Pekan.
 
FW396336_SB01_100515_PM-lpr

Beliau dilaporkan menggunakan kesempatan tersebut bagi mendekatkan diri dengan penduduk setempat dan menerangkan sendiri tentang isu-isu semasa serta dasar-dasar kerajaan.

Selain itu, platform tersebut digunakannya bagi menjelaskan kontroversi yang menyelubungi pentadbirannya, seperti isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pembelian tanah milik Tun Razak Exchange oleh Tabung Haji dan BR1M.

Menurut seorang pemimpin UMNO di Johor, sambutan baik yang diterima Najib ketika membuat kunjungan ke negeri paling selatan di semenanjung itu membuktikan bahawa beliau masih popular dalam kalangan rakyat.

“Mereka datang untuk mendengar sendiri penjelasan terhadap isu-isu yang berlaku. Apa pun, Najib perlu berdiri dan membela dirinya. Beliau juga perlu meyakinkan rakyat bahawa beliau komited untuk menyelesaikan isu-isu yang telah dibangkitkan.”

Ketika ini, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan individu paling lantang mengkritik kepimpinan Najib dan mendesak supaya Ahli Parlimen Pekan itu melepaskan jawatan.

Dr Mahathir sebelum ini pernah secara terbuka mendesak mantan-mantan Perdana Menteri seperti Bapa Kemerdekaan, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk meletak jawatan.

Bagaimanapun, dua lagi mantan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan Allahyarham Tun Hussein Onn tidak menerima nasib yang sama dari Dr Mahathir setelah mereka melantik beliau sebagai Menteri dalam Kabinet untuk mentadbir negara.

Pihak pembangkang pula menggunakan isu panas seperti 1MDB dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebagai subjek menghentam Najib serta kabinetnya, sekaligus meneruskan propaganda supaya rakyat membenci pihak kerajaan. -Kedahnews.com