Tidak Wujud Kubur Etnik Rohingya Di Sempadan Malaysia - KDN

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Alwi Ibrahim
ALOR SETAR – Siasatan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) melaporkan pihak berkuasa itu tidak menemui sebarang bukti kukuh mengenai dakwaan wujudnya kem penampungan atau kubur-kubur pendatang asing tanpa izin (PATI) etnik Rohingya dalam kawasan Malaysia di sempadan Malaysia – Thailand.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Alwi Ibrahim dalam kenyataannya bagaimanapun tidak menafikan bahawa Malaysia sememangnya menjadi sasaran sebagai negara pilihan bagi kes-kes penyeludupan migran menerusi Thailand selaku negara transit kegiatan tersebut.

Kata beliau, kegiatan penyeludupan migran termasuk PATI sudah lama berlarutan kerana melibatkan sindiket dari Malaysia dan Thailand serta dipengaruhi faktor muka bumi di sekitar sempadan yang memudahkan kegiatan sindiket-sindiket terbabit dilakukan.

“KDN ingin menjelaskan apa yang dapat dilihat dalam senario semasa di sempadan Malaysia– Thailand lebih menjurus kepada aktiviti-aktiviti jenayah penyeludupan migran berbanding dengan jenayah pemerdagangan orang.

“Ini kerana PATI termasuk etnik Rohingya sanggup bersekongkol dan membayar kepada sindiket jenayah untuk mereka diseludupkan masuk ke Malaysia melalui Thailand. PATI yang diseludupkan melakukan kegiatan ini di atas kerelaan mereka sendiri dan bukannya mangsa,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Namun, kata Alwi, KDN tidak menafikan PATI yang diseludupkan itu berkemungkinan juga untuk tujuan eksploitasi kerana status imigresen mereka yang boleh menjurus kepada jenayah pemerdagangan orang.

Menurutnya, Malaysia mempunyai Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 bagi menghadapi dan menangani ancaman pemerdagangan orang dan penyeludupan migran tersebut.

Justeru, katanya, agensi-agensi penguat kuasa terutamanya di sempadan daratan Malaysia dan negara jiran perlu mempertingkatkan kesiapsiagaan dalam menangani kedua jenayah itu yang berkaitan walaupun mempunyai ciri-ciri yang berbeza.

Dakwaan mengenai penampungan PATI di sempadan berikutan penemuan kubur dan kem penampungan PATI di dalam kawasan sempadan Thailand–Malaysia berdekatan dengan Wilayah Songhkla yang majoritinya berbangsa etnik Rohingya.- Kedahnews.com