ULAMA bersepakat bahawa sujud yang sempurna mestilah dilakukan di atas tujuh anggota. Majoriti mazhab iaitu Hanafi, Maliki dan Syafie berpendapat yang wajib hanyalah dahi. (Al-Mughni, 2/67; Tuhfatul Muhtaj, 1/203 (cet. Dar Kutub Ilmiah)
Sekiranya tertinggal mana-mana anggota, solat tidaklah batal. Namun, menurut Mazhab Syafie jika bahagian dahi tidak diletakkan sebetulnya di atas tempat sujud sehingga kira-kiranya berat kepala terletak di atas tempat sujud. Jika keadaan demikian tidak berlaku, wajib mengulangi sujud. (Mughni al-Muhtaj1/235, Ikhtilaf Aimmah al-Ulama, Ibnu Hubayrah, 1/117, Al-Fiqh ala Mazahib al-Arba’ah, Abd. Rahman Al-Jaziri, 1/207)
Cara sujud yang betul (ilustrasikan dengan gambar yang telah disediakan di bawah);
- Kedua-dua tapak tangan
- Dahi
- Hidung
- Siku
- Kedua-dua belah lutut
- Hujung jari kaki
Kewajipan untuk sujud di atas tujuh anggota ini berdasarkan hadis Ibnu Abbas ra yang sahih yang bermaksud:
"Aku diarahkan untuk sujud dia atas tujuh anggota sujud: Di atas dahi - dan Nabi SAW menunjukkan ke arah dahinya dan kedua-dua belah tangan dan kedua-dua lutut dan kedua-dua hujung kaki." (riwauay al-Bukhari dan Muslim).
Kedudukan hujung jari kaki
Berdasarkan apa yang dihuraikan oleh Imam al-Nawawi, anggota yang dikira ialah telapak bagi kedua-dua tangan dan yang dikira bagi kaki ialah permukaan jari-jari kaki dan paling minimum untuk melaksanakan arahan daripada hadis di atas adalah jika ada satu jari yang betul kedudukannya.
Jika jari kaki tidak pada kedudukan sedemikian, adakah solat menjadi batal? Jawapannya berbeza menurut ijtihad ulama seperti berikut;
* Hanafi, Syafie (menurut al-Nawawi dan Hanbali: Solat boleh terbatal kerana ia anggota wajib.
* Maliki: Tidak batal kerana anggota sujud yang wajib hanyalah dahi.
Pandangan terpilih dan lebih selamat ialah menjaga kedudukan jari kaki agar dibengkokkan. Keluar daripada khilaf dan melakukan yang terbaik untuk menuruti sunah Nabi SAW adalah lebih elok.
Mestikah hidung mencecah tempat sujud?
Terdapat perbezaan ijtihad dalam keadaan sujud dengan hidung mencecah bumi. Majoriti mazhab berpendapat ia tidak wajib. Imam Ahmad pula mempunyai dua pandangan yang berbeza.
Ibnu Munzir telah menyatakan ijmak daripada kalangan sahabat untuk memastikan sentuhnya dahi dan hidung sekali gus.
Namun Jumhur ulama menyatakan dahi tanpa hidung adalah mencukupi dan Ibnu Qudamah menafikan kesahihan ijmak yang disebutkan.
Antaranya wajib berdasarkan hadis al-Bukhari dan Muslim yang mengarahkan agar sujud di atas tujuh anggota dan ketika Nabi SAW menyebut dahi, Nabi SAW menunjukkan hidungnya sekali (sebagaimana disebutkan dalam hadis di atas)
Imam Syafie menyebut bahawa sekiranya hidung tidak mencecah bumi, hukumnya hanyalah makruh. Bagi memastikan kesempurnaan dan kualiti solat, elok dipastikan kedua-dua anggota tersebut dicecahkan ke tempat sujud.
Keadaan dahi semasa sujud
Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:
"Kemudian terus sujud sehingga berhenti sekejap dalam keadaan sujud." (riwayat al-Bukhari)
Sementara sifat sujud yang diajarkan oleh Nabi SAW adalah wajib meletakkan dahi di atas bumi dan menekankan dahi ke bumi, dalilnya bermaksud:
"Apabila bersujud hendaklah kamu menekankan ke bumi dan jangan mencecah cepat semata-mata." (riwayat Ibnu Hibban, dianggap sahih)
Hadis ini secara tidak langsung memberi maksud, dahi mestilah tidak tertutup semasa sujud. Justeru, Imam Syafie beijtihad, wajib dahi terbuka dan tidak harus ada apa jua yang menghalang di antara dahi dan tempat sujud.
Bagaimanapun terdapat hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim bahawa sahabat Nabi SAW pernah meletakkan hujung baju mereka mengalas dahi ketika hari yang panas.
Berdasarkan hadis ini dan qias bahawa seluruh anggota sujud yang lain tidak perlu terbuka, maka majoriti ulama daripada mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali mengharuskan dahi tertutup ketika sujud.
Pandangan yang lebih hampir dengan sifat solat Nabi SAW adalah dengan mendedahkan dahi ke tempat sujud. Ia berdasarkan hadis sahih yang jelas iaitu:
"Aku diperintahkan untuk sujud di atas tujuh (anggota) tidak ditutupi oleh rambut dan baju". (riwayat al-Bukhari)
Adapun hadis sahabat sujud di atas hujung baju, ia hanyalah dalam keadaan tertentu yang darurat, seperti panas atau sejuk atau batu-batu agak tajam dan keras. Manakala dalam keadaan biasa, elok mengambil azimah dan keluar daripada khilaf.
Demikian juga pandangan Imam Ahmad dan Ibnu Qudamah. Bagaimanapun ulama bersepakat mengatakan solat tidak batal jika sujud beralas baju dan rambut, cuma makruh dan kerana ia seolah-olah seorang yang takbur.
*Petikan daripada buku Formula Solat Sempurna.