GURUN – Lebih 500 penduduk di Kampung Berjaya Lama, Lembaga Kemajuan
Wilayah Kedah (Keda) Batu 10, di sini, mendakwa sering mengalami masalah
gangguan bekalan air.
Difahamkan, masalah itu sudah berlarutan sejak lebih 15 tahun lalu
apabila bekalan air terputus pada waktu siang dan hanya mengalir
perlahan pada waktu malam.
Seorang penduduk, Ahmad Othman, 56, berkata, ketiadaan bekalan air
bersih itu menyebabkan aktiviti harian untuk memasak, mandi, basuh baju
dan sebagainya terbantut.
“Masalah ini sudah lama berlarutan dan sudah beberapa kali kami
berhubung dengan pihak berkenaan, tetapi tiada tindakan diambil dalam
menyelesaikan masalah ini.
“Kami hanya dapat bekalan air perlahan pada jam 11.30 malam hingga 4
pagi, tetapi selepas waktu itu yang ada hanya angin dalam paip,” katanya
kepada Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, waktu malam adalah masa sesuai untuk penduduk menadah air
paip bagi kegunaan harian untuk keesokan harinya, namun ia masih tidak
mencukupi.
“Bekalan air yang kami simpan memang tidak cukup untuk kegunaan harian. Kadang-kadang waktu malam pun tiada bekalan air.
“Tetapi lebih mengecewakan apabila bil-bil air yang kami terima adalah
terlalu tinggi antara RM30 hingga RM80, sedangkan penggunaannya tidak
setimpal,” katanya.
Rakiah Saari, 54, berkata, dia telah menetap di kawasan perkampungan tersebut sejak lebih 20 tahun lalu.
“Sebelum ini bekalan air memang laju dan tiada masalah. Tetapi masalah
itu bermula dengan air semakin perlahan sejak 15 tahun lalu dan terputus
seperti berlaku sekarang.
“Kami masih boleh bertimbang rasa kalau bekalan air itu masih ada pada
waktu malam, tetapi waktu malam pun tiada, bagaimana kami nak mandi,
masak dan untuk kegunaan harian lain,” katanya.
Jelasnya, lebih membimbangkan sekiranya berlaku kebakaran atau kematian
di kawasan tersebut, penduduk terpaksa menyewa lori untuk mengambil air
di kawasan lain.
“Mak cik minta maaf kalau salah cakap. Mak cik nak minta tolong sangat-sangat kepada pihak berkenaan, tolonglah bagi kami air.
“Air amat penting untuk urusan harian, terutama pada waktu cuti sekolah
dan musim perayaan. Berilah perhatian kepada masalah kami,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Abdul Talib Abu Bakar, 57, berkata, mereka sudah
buntu untuk mengadu masalah tersebut kerana aduan yang dibuat kepada
pihak berkenaan tiada penyelesaian.
“Sudah banyak kali kami buat aduan, tetapi keadaan masih sama. Kadang-kadang ada air pada waktu malam, kadang-kadang tiada air.
“Tetapi dalam seminggu ini, kami langsung tiada bekalan air pada waktu siang mahupun malam,” katanya.
Menurutnya, pihak yang bertanggungjawab dalam masalah itu perlu mengambil perhatian sewajarnya kerana ia sudah lama berlarutan.
“Andai kata masalah itu berpunca daripada paip yang kecil, maka tangani masalah itu dengan tukar paip yang besar.
“Kalau ada masalah lain, ambillah tindakan alternatif supaya kami dapat merasai bekalan air seperti penduduk lain,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Air Darul Aman (Sada),
Rofedi Sulaiman berkata, pihaknya sedia maklum mengenai masalah
tersebut.
“Sebahagian penduduk mengalami gangguan bekalan air kerana rumah mereka
berada di kawasan tinggi, tekanan yang ada sedia ada tidak mampu sampai
ke rumah berkenaan.
“Mengikut pelan perumahan asal perkampungan tersebut, sistem bekalan
air mempunyai tangki dan rumah pam yang dibina oleh Keda, tetapi tangki
dan rumah pam tersebut rosak dan tidak dapat digunakan lagi,” katanya.
Jelasnya, pihak Sada dan Keda daerah Sik akan melakukan suatu
perbincangan bagi mengatasi masalah tersebut, termasuk membaiki pulih
sistem asal.
Sumber: Sinar Harian