KUALA LUMPUR – Usaha Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri
Ahmad Shabery Cheek untuk memastikan pengguna dapat menikmati pembelian
kad tambah nilai prabayar telefon dengan formula ‘beli RM10, dapat RM10′
disambut baik persatuan-persatuan pengguna.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim
Johan menyambut baik usaha itu kerana memperlihatkan formula berkenaan
wajar dan adil.
Katanya ini kerana sebilangan besar pengguna yang membeli kad tambah
nilai prabayar merupakan golongan yang berpendapatan rendah dan
sederhana.
“Sepatutnya memang macam itu, kita beli RM10, kita kena dapat nilai
RM10, itu baru adil dan saya yakin pengguna juga akan terima baik
sekiranya syarikat telco menerima tawaran itu.
“Sebab yang pakai kad prabayar ini kebanyakannya pelajar sekolah,
penuntut universiti, dan orang yang tidak mampu menggunakan
perkhidmatan pascabayar,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari
ini.
Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna
Malaysia (FOMCA) Datuk Paul Selvaraj turut bersependapat bahawa formula
itu adalah tepat bagi menjaga kepentingan pengguna.
Selvaraj berkata beliau menyokong usaha Ahmad Shabery untuk
merealisasikan formula itu yang pastinya akan diterima baik oleh semua
orang.
“Saya sokong 100 peratus usaha itu, dan saya yakin para pengguna akan
sokong formula tersebut. Ia tidak merugikan sesiapa, yang penting
kerajaan mesti menjaga kebajikan pengguna,” katanya.
Ditanya jika syarikat telekomunikasi enggan menerima formula itu,
Selvaraj berkata kerajaan perlu mengambil tindakan tegas dalam mengatasi
isu kemelut kad prabayar ini dan menggunakan apa jua kuasa untuk
merealisasikannya.
“Dalam perkara ini, kerajaan kena tegas, dan jangan asyik ikut apa
kemahuan syarikat-syarikat telco kerana yang penting kehendak dan
kebajikan rakyat mesti didahulukan,” katanya.
Semalam, Ahmad Shabery mengumumkan bahawa beliau akan akan berusaha
agar pembelian kad tambah nilai prabayar telefon menggunakan formula
‘beli RM10, dapat RM10′ dalam program Edisi Khas ‘Suara Kita Hak Kita’
terbitan RTM yang disiarkan secara langsung di TV1.
Katanya pendirian itu akan diketengahkan dalam pertemuannya dengan
peneraju syarikat-syarikat telekomunikasi di negara ini sebelum dibawa
ke Kabinet untuk keputusan selanjutnya. – BERNAMA