ROMPIN – Transmisi siaran televisyen digital kini dalam peringkat
percubaan dengan penggunaan stesen pemancar di beberapa kawasan di
seluruh negara.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek
berkata kementerian amat komited dalam proses peralihan sistem
televisyen (TV) analog kepada sistem TV digital selaras dengan
perkembangan trend penyiaran dunia yang mahukan lebih banyak rancangan
interaktif.
“Apabila TV digital ini berjaya dilaksanakan nanti, dua juta set “top
box” akan dibekalkan secara percuma kepada golongan berpendapatan
rendah bagi membolehkan mereka menikmati siaran televisyen dengan lebih
baik,” katanya.
kepada pemberita selepas melawat tiga Pusat Daerah Mengundi di Gading, Kedaik dan Keratong sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin di sini hari ini.
Menyentuh mengenai Radio Televisyen Malaysia (RTM), Ahmad Shabery
berkata stesyen penyiaran negara itu perlu menyiarkan lebih banyak
berita berkonsepkan rakyat bagi memastikan suara mereka terus didengar.
Selain itu, RTM perlu mewujudkan saluran berita bersifat ‘berita
mutakhir’ dan ‘tepat masa’ yang dikehendaki penonton terutama menjelang
era digital ini, katanya.
“Konsep waktu perdana jam 8 malam sudah dianggap ketinggalan dan
berita mutakhir ini merupakan kaedah baharu dalam dunia penyiaran yang
mana rakyat mahukan lebih banyak berita bersifat ‘secara langsung’ terus
kepada penonton,” katanya.
Beliau berkata tenaga kerja dan kakitangan RTM juga perlu berubah
dalam budaya kerja untuk memaparkan berita yang berterusan kepada
rakyat.
Ahmad Shabery berkata RTM walau bagaimanapun telah memulakan siaran
saluran berita berformat baharu sejak September tahun lepas yang
disiarkan di RTM1 dikenali sebagai ‘BES 5-10′ (Berita Ehwal Semasa).
Melalui siaran berkenaan, RTM bukan sekadar memberikan liputan
mendalam mengenai dasar dan rancangan kerajaan, malah memaparkan
aktiviti-aktiviti rakyat yang sedang berlangsung di seluruh negara.
“Dulu pukul 8 malam hanya dimonopoli oleh berita pemimpin dengan BES
5-10 kita ada tempoh lebih untuk menyiarkan cerita rakyat seperti
perkembangan Felda, Dewan Rakyat, masalah nelayan dan sebagainya,”
katanya. – BERNAMA