Tuanku Zara Salim Bergelar Raja Permaisuri Perak

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyematkan 'Bunga Pencawa Pencara' di kepala Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim pada Istiadat Pertabalan Adat di Istana Iskandariah hari ini. - Foto BERNAMA
Dilahirkan pada 22 Mac 1973, di Ipoh, Perak, Tuanku Zara merupakan anak bongsu daripada empat beradik kepada pasangan Datuk Salim Davidson dan Sharifah Azaliah Tan Sri Syed Omar Shahabudin.

Tuanku Zara mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Convent Ipoh dan peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Ipoh sebelum meneruskan pengajian peringkat A-Level di Prime College, Kuala Lumpur.

Baginda kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Nottingham, United Kingdom dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda (Kelas Pertama) dalam bidang Kejuruteraan Kimia.

Sekembalinya dari United Kingdom pada 1995, Tuanku Zara bertugas di Petronas selama enam tahun sebelum berkhidmat di Formis Malaysia Berhad, sebuah syarikat teknologi maklumat.

Pada 2005, baginda menjawat jawatan Pengarah Urusan di Forthwave Consulting Sdn Bhd, sebuah syarikat perunding hidrokarbon.

Tuanku Zara merupakan seorang yang aktif dalam pelbagai aktiviti sukan dan sewaktu di bangku sekolah, pernah mewakili Perak dalam sukan renang.

Baginda telah diijabkabulkan dengan Sultan Nazrin Shah pada 17 Mei 2007 dan pada 18 Mei 2014, Tuanku Zara dimasyhurkan sebagai Raja Permaisuri Perak.

Baginda dikurniakan dua orang cahaya mata, seorang putera iaitu Raja Azlan Muzaffar Shah dan seorang puteri, Raja Nazira Safya.

Sejenis orkid hibrid berwarna ungu telah dinamakan ‘Dendrobium Tuanku Zara Salim’ bersempena keberangkatan lawatan baginda ke Festival Orkid Antarabangsa ketujuh pada 9 Julai 2007.

Pada 1 Jan 2012, Tuanku Zara dimasyhurkan sebagai Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris dan baginda juga adalah Penaung Persatuan Kesihatan Keluarga Perak, Convent Girls Alumni serta Pandu Puteri Negeri Perak.- BERNAMA