LA PAZ – Anggota
tentera darat Bolivia terpaksa dikerah ‘memanggang’ puluhan ribu roti
ekoran keseluruhan tukang roti di negara Amerika Latin itu melancarkan
mogok kerja, lapor stesen penyiaran antarabangsa BBC.
Ribuan askar diarahkan pemerintah Bolivia susulan beberapa wilayah
telah melaporkan kekurangan pekerja pembuatan roti, terutama di ibu kota
La Paz dan bandar raya kedua terbesar, El Alto di pinggir ibu negara.
“Kami memang mengalami kekurangan petugas. Namun kami akan cuba
membuat 70,000 roti dalam sehari dan masih boleh meningkatkan produksi
apabila perlu,” kata Menteri Pembangunan Bolivia, Veronica Ramos.
Pemerintah tempatan akan menjual roti buatan tentera itu di semua
kedai runcit dan pasar raya biasa pada harga serendah 40 sen boliviano
(kira-kira 20 sen Malaysia) bagi setiap buku, lapor akhbar harian pada
Rabu.
Manakala tukang roti negara itu mendakwa mereka biasanya perlu
menjual setiap potong roti dengan harga 50 sen boliviano (kira-kira 25
sen Malaysia) untuk mendapatkan semula untung dan pulangan sedikit
modal.
Kesemua tukang roti di seluruh Bolivia melancarkan mogok kerja
serentak selama 48 jam sebagai memprotes keputusan pemerintah yang
menghapuskan subsidi bagi tepung gandum serta merupakan bahan asas roti.
Menteri Pertahanan Bolivia, Reymi Fereira mengisytiharkan perintah
darurat susulan mogok terbesar dalam sejarah negara itu serta
mengarahkan berek tentera dijadikan kilang sementara dan askar dikerah
membuat roti.
Berbeza dengan Malaysia yang tidak mengenakan GST pada tepung gandum
malah diberi subsidi, pemerintahan sayap kiri pimpinan Presiden Bolivia,
Evo Morales menyatakan subsidi tepung gandum tidak diperlukan lagi.
“Tukang roti di Bolivia mampu kaya kerana diuntungkan oleh subsidi
itu selama bertahun-tahun. Mereka sekarang perlu memikul beban itu
sendiri tanpa harap bantuan kerajaan,” kata Menteri Pembangunan,
Veronica Ramos.
Bolivia adalah negara termiskin di benua Amerika Selatan, namun tahap
kemiskinan dan kemelesetan ekonomi berjaya diturunkan sejak berkuasanya
Morales dengan melakukan rasionalisasi subsidi. – Agensi