PAUZIAH membawa skuternya untuk berniaga di sekitar kawasan Bukit Mertajam. |
Perai – “Tulang saya mereput setiap hari dan sudah hampir 100 kali
anggota badan saya dipotong sedikit demi sedikit,” kata Pauziah A Kadir,
52, yang mendakwa menghidap kanser tulang sejak 31 tahun lalu.
Apa yang mengagumkan, biarpun kini kudung kedua-dua kaki, tangan
kurang berfungsi dan beberapa jari tangan sudah dipotong, dia masih
gigih mencari rezeki dengan menjaja nasi lemak serta piza dengan
menunggang motosikal.
Pauziah berkata, penyakit yang dialaminya itu menyebabkan dia berasa
dirinya ibarat kayu yang semakin hari semakin reput akibat digigit
anai-anai.
“Derita saya tidak ubah seperti kayu digigit anai-anai dan memang
sedih apabila anggota badan saya dipotong sedikit demi sedikit selepas
ia sudah tidak boleh digunakan lagi.
“Tapi, saya tak mahu menyerah kalah. Selagi terdaya, saya akan
bekerja untuk meneruskan kehidupan dan tak mahu menyusahkan orang lain,”
katanya yang tidak berkahwin dan tinggal bersama anak saudara, Siti
Zulrihaiza Mohd Zulkafli, 26, di Kampung Pertama, di sini. – myMetro