KUALA LUMPUR – Akibat menumbuk kepala seorang anggota polis, seorang
penganggur dijatuhi hukuman penjara 20 hari oleh Mahkamah Majistret di
sini, hari ini.
Majistret Nur Azura Murah menjatuhkan hukuman itu terhadap Adam Attu
Holdy, 27, selepas dia mengaku bersalah menggunakan kekerasan dengan
menumbuk bahagian belakang kepala Lans Koperal Rosdi Ali bagi menghalang
beliau daripada menjalankan tugasnya sebagai penjawat awam.
Mahkamah juga memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula daripada tarikh dia ditangkap pada 26 April lepas.
Adam yang berasal dari Sabah dituduh melakukan kesalahan itu di
hadapan kedai Toto di Jinjang Selatan, Sentul di sini, pada 4.15 petang,
26 April lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman
penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM2,000 atau
kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, polis cuba menahan Adam yang dalam keadaan
mencurigakan tetapi tertuduh terus melarikan diri selepas Rosdi
menunjukkan kad kuasanya.
Rosdi kemudian berjaya menangkap Adam tetapi tertuduh menumbuk
anggota polis itu sebanyak dua kali dan akibat daripada tumbukan
berkenaan, beliau mengalami kesakitan di bahagian belakang kepala.
Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman
ringan dengan alasan dia perlu menanggung keluarga termasuk ibunya yang
uzur.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Ravindran. – BERNAMA