Tun M Simpan Kekayaan Berbilion Di Institusi Persisir Antarabangsa?


ALOR SETAR - Kritikan demi kritikan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang seolah mengulangi tindakannya terhadap dua bekas Perdana Menteri sebelum ini, Tunku Abdul Rahman Putra dan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini telah mengundang polemik pada pelbagai pihak di negara ini.

Terbaru, sebuah NGO yang menggelar diri mereka sebagai Citizens for Accountable Malaysia (CAGM) mendakwa bahawa berdasarkan penyelidikan mereka, sepanjang lebih dua dekad memimpin negara, Dr. Mahathir menyembunyikan kekayaan beliau menerusi beberapa institusi pulau pesisir antarabangsa dalam pelbagai bentuk.

Malah ujarnya, laman rujukan popular Wikipedia pernah menyatakan Dr. Mahathir sebagai bekas pemimpin yang kedua terkaya di dunia selepas mantan Presiden Mesir, Hosni Mubarak dengan kekayaan bersih AS$44 bilion.

Pengerusi CAGM yang dikenali sebagai Md. Zainal Abidin berkata, walau bagaimanapun pihaknya masih belum mempunyai bukti yang kukuh berkenaan kajian tersebut.

"Keadaan itu kemungkinan besar menjelaskan keupayaan Dr. Mahathir sebagai ‘kingmaker‘ atau orang yang amat berpengaruh dalam mencorakkan hal ehwal politik Malaysia walaupun telah lama bersara," jelas Md. Zainal dalam satu kenyataan media.

Justeru itu, CAGM menawarkan hadiah RM1 juta tunai kepada mana-mana pihak dapat mendedahkan kekayaan rahsia Dr. Mahathir.

Md. Zainal Abidin berkata pihaknya bersedia memberi wang tunai lumayan itu kepada individu yang berjaya membongkar kemewahan tersembunyi bekas pemimpin itu.

Bakal pemenang mestilah tampil menyediakan maklumat dan bukti kukuh sekali gus membawa kepada kesahihan segala harta dan wang tunai yang dimiliki secara rahsia oleh Dr. Mahathir serta tiada sesiapa belum tahu lagi.

Ganjaran akan diberi kepada individu tersebut berdasarkan sejauh mana besarnya maklumat, ketulenan dan tahap kepentingan bukti yang boleh digunakan agensi penguatkuasaan bagi membongkar rahsia kekayaan Dr. Mahathir.

“Namun, hadiah RM1 juta ini masih lagi tertakluk kepada terma dan syarat tertentu, manakala identiti pemberi maklumat tersebut akan dilindungi ketat oleh pihak CAGM dengan apa cara sekali pun,” tegas Md Zainal mengenai tawaran tersebut.

Sebelum ini, beberapa penulis blog pernah mempersoalkan kekayaan anak-anak beliau yang didakwa menerima keistimewaan tertentu sepanjang 22 tahun pemerintahan Dr. Mahathir selain rakan-rakan rapat beliau sendiri.

Selain itu, CAGM pada masa sama turut mendesak Parlimen mengeluarkan usul "wang gelap" bagi membongkar segala aset dan pendapatan asing yang cuba dirahsiakan oleh ramai pemimpin politik, ahli-ahli keluarga dan proksi mereka.

Kata NGO tersebut, sebuah pasukan khas wajar dibentuk oleh kerajaan untuk mencari dan membawa balik ‘wang gelap’ itu yang disimpan tokoh politik khasnya bekas perdana menteri waima pemimpin negara sedia ada. - Kedahnews.com