Tun M Tak Mahu Dengar Cakap Orang Lain, Usaha Damai Sia-Sia

Setiausaha Agung Kelab Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub
ALOR SETAR - Kelab Veteran UMNO Malaysia menyifatkan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai seorang yang sangat degil dan enggan mendengar pandangan pihak lain.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, ramai pihak sudah dan sedan berusaha untuk memberi nasihat serta teguran kepada Dr Mahathir untuk menghentikan kemelutnya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, namun usaha itu tidak dipedulikan beliau.

"Dr Mahathir tak nak dengar cakap orang lain. Ini sukar, Ia harus datang dari Dr Mahathir sendiri, kesedaran dan keikhlasan beliau menyuarakan pandangannya.

"Veteran UMNO dan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) pernah menyatakan kesudian untuk menjadi orang tengah, tetapi kami bagai melukut di tepi gantang.

"Dr Mahathir tidak akan dengar cakap orang lain," kata Mustapha dalam satu kenyataan kepada media.

Kedegilan dan keengganan Dr Mahathir untuk menurut kehendak majoriti pemimpin, ahli dan penyokong UMNO itu menyebabkan penyelesaian krisis yang berlaku antara beliau dan Najib menemui jalan buntu.

Mengulas mengenai gesaan Dr Mahathir kepada ahli UMNO supaya menggugurkan Najib dari jawatan dalam kabinet dan parti seperti yang pernah beliau lakukan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Mustapha berpandangan bahawa ia tidak mustahil walaupun mengakui terlalu sukar, malah akan memburukkan lagi keadaan parti.

"Ajakan dan desakan Dr Mahathir tidak mustahil berlaku, tetapi sukar. Najib masih mampu mentadbir negara.

"Jika Majlis Tertinggi UMNO mahupun Kabinet bersetuju menjatuhkan Najib, ia tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya memburukkan keadaan," katanya lagi.

Bagaimanapun, Mustapha secara terbuka mempelawa Dr Mahathir untuk mencabar kedudukan Najib sebagai Presiden UMNO pada pemilihan parti itu yang akan datang sekiranya benar-benar berhajat untuk mengundurkan Najib dari jawatan nombor satu negara itu.

"Jika mahu Najib berundur, tunggulah Perhimpunan UMNO akan datang. Ketika itu, cabarlah kerusi Presiden.

"Jika Dr Mahathir masih mampu, beliau juga boleh mencabar jawatan itu," kata Setiusaha Agung Kelab berkenaan, membuka jalan kepada pemimpin yang berusia 89 tahun itu untuk mencabar Najib secara demokrasi. -Kedahnews.com