crayfish lobster |
JAKARTA — Sejenis udang kara air tawar atau crayfish lobster
dari perairan wilayah Indonesia diisytiharkan sebagai spesies baharu
dan diiktiraf salah satu yang tercantik di dunia, lapor media tempatan
pada Rabu.
Udang itu sebenarnya sudah menjadi komoditi perdagangan sejak 10
tahun lalu namun, penyelidik marin baharu sahaja mengetahui bahawa ia
merupakan jenis terkini ketika melakukan kajian taksonomi beberapa
minggu lalu.
Saintis Christian Lukhaup dari Hinterweidenthal, Jerman, pertama kali
menyedari keunikan udang karang berasal dari Indonesia itu secara
kebetulan ketika dia melihat hasil kerja seni beberapa foto lobster dari
rakan baiknya.
Pada mulanya Lukhaup belum lagi mengetahui asal-usul udang tersebut
kerana apabila bertanya kepada para peniaga haiwan peliharaan, rata-rata
mereka sendiri pun tidak tahu atau mungkin sengaja menyembunyikan
fakta.
“Melakukan penelitian ini seperti melaksanakan penyiasatan kes
jenayah,” katanya seperti dilaporkan jurnal penyelidikan mingguan
berpengaruh Britain, New Scientist dalam keluaran edisi terbaharu pada Selasa.
Lukhaup kemudian menjalankan analisis awal terhadap lobster itu
sebelum mengetahui bahawa makhluk cantik itu merupakan anggota keluarga
udang dari baka Cherax berasal dari wilayah paling timur Indonesia, Papua.
Dia seterusnya pergi ke Hoa, Teminabuan di Kepala Burung Papua untuk
bertanya lebih terperinci kepada penduduk tempatan perihal lobster yang
banyak diperdagangkan itu dan turut menjelajahi perairan setempat.
Di wilayah tersebut, Lukhaup membandingkan sejumlah spesies Cherax lainnya termasuk jenis lobster Boesemani, yang secara morfologi sangat mirip dengan ukuran, pola warna dan karakter udang karang jenis terbaharu ini.
Berdasarkan artikel terbitan di jurnal Zootaxa pada 4 Mei 2015, lobster air tawar itu berbeza daripada Cherax boesemani kerana ukuran lebih kecil sekitar 12 sentimeter dan warna tubuh serta sepit dominan warna biru.
Lukhaup akhirnya menamakan lobster itu sebagai Cherax pulcher. “Pulcher”
adalah daripada perkataan bahasa Latin yang bererti cantik. “Saya fikir
ini salah satu lobster paling cantik di dunia,” ulas Lukhaup jujur.
Malangnya, kajian saintis mendapati makhluk tercantik itu terus
diancam aktiviti perdagangan sebagai haiwan hiasan selain masalah
kebanjiran penduduk dan pencemaran yang semakin serius di wilayah Papua
tersebut.
Seorang lagi penyelidik marin, Zachary Loughman dari Liberty
University di West Virginia, Amerika Syarikat menjelaskan, setakat ini
kajian menunjukkan jenis udang karang itu hanya berjaya ditemui di satu
tempat.
“Mungkin jenis lobster itu mendiami kawasan habitat yang luas atau
barang kali hanya terdapat di satu aliran perairan. Jika ada apa-apa
berlaku dengan perairan itu, makhluk ini dibimbangi pasti akan musnah,”
ujar beliau.
Udang kara tambah Loughman, merupakan salah satu spesies paling
terancam di dunia tetapi kebanyakan orang lebih prihatin dengan ancaman
harimau, orangutan dan badak, namun tidak pula untuk lobster. – Agensi