Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom |
KUALA LUMPUR – Indeks Syariah Malaysia (ISM) yang dilancarkan dalam
usaha mengukur dan menilai tahap keseriusan usaha kerajaan dalam
mencapai Maqasid Syariah merupakan usaha berterusan dan bukan bersifat
bermusim, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom
berkata sebagai usaha permulaan, selepas penubuhan Jawatankuasa Tadbir
Urus ISM, satu profil korporat telah dilancar pada 14 Mei lalu bagi
menerangkan secara umum mengenai ISM.
“Profil ini akan diedarkan kepada semua pihak yang terlibat dalam
penyelidikan ISM, seterusnya beberapa perancangan yang bersifat
strategik secara berfasa yang melibatkan pelbagai peringkat pembuat
dasar, pelaksana dan masyarakat awam serta saluran media sedang diatur
Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) supaya pemahaman lebih jelas
tentang ISM dapat diberikan secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mas Emeryati
Samsudin (BN-Masjid Tanah) apakah usaha kerajaan bagi memastikan ISM
merupakan projek berterusan dan bukan hanya sekadar melepaskan batuk di
tangga.
Berhubung usaha kerajaan bagi memastikan ISM difahami sepenuhnya oleh
masyarakat dan menjadi negara contoh, beliau berkata program pencerahan
dan penerangan akan diadakan dari semasa ke semasa supaya masyarakat
berpengetahuan dan tidak dipengaruhi persepsi kurang tepat.
“ISM juga adalah untuk menjelaskan salah faham segelintir rakyat
Malaysia yang mengatakan bahawa sistem pentadbiran negara selama ini
tidak mengikut prinsip-prinsip Islam.
“Langkah ini juga diharap dapat membuka mata negara-negara Islam yang
lain bahawa Malaysia serius dalam melaksanakan prinsip syariah dalam
pentadbiran negara untuk kesejahteraan rakyatnya,” kata Jamil Khir.
Pada 10 Feb lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
melancarkan ISM yang merupakan produk pelengkap tadbir urus Islam di
negara ini melalui pengukuran tuntutan syarak yang lebih menyeluruh.
Indeks pertama seumpamanya yang pernah dibangunkan di dunia itu akan
menilai dan mengukur keseriusan kerajaan dalam mencapai lima aspek
Maqasid Syariah (dikehendaki oleh syarak) iaitu pemeliharaan agama,
pemeliharaan nyawa, pemeliharaan akal, pemeliharaan keturunan dan
pemeliharaan harta. – BERNAMA