Calon Barisan Nasional Datuk Hasan Arifin meraikan kemenangan bersama keluarga selepas diumumkan memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin di sini malam ini. - Foto BERNAMA |
ROMPIN – Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Parlimen Rompin
dalam pilihan raya kecil yang berlangsung hari ini dengan majoriti 8,895
undi.
Calon BN Datuk Hasan Arifin, 62, mendapat 23,796 undi atau 61 peratus
berbanding calon PAS Nazri Ahmad, 40, yang mendapat 14,901 undi atau 39
peratus.
Pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), Mei 2013, Tan Sri Dr Jamaluddin
Jarjis telah mengekalkan kerusi yang disandangnya hampir enam penggal
itu dengan mengalahkan bekas Ketua Dewan Muslimat PAS Nuridah Mohd
Salleh dengan majoriti 15,114 undi.
Jamaluddin mendapat 30,040 undi atau 66.53 peratus berbanding Nuridah yang mendapat 14,926 undi atau 33.06 peratus.
Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Fadzilla
Salleh di pusat penjumlahan undi di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah
di sini, malam ini.
Fadzilla berkata terdapat 591 kertas undi rosak pada pengundian hari ini.
Jumlah pemilih berdaftar yang keluar mengundi hari ini adalah 74
peratus daripada 53,294 pengundi berdaftar pada kali ini, 11 peratus
lebih rendah daripada jumlah keluar mengundi pada PRU13, 46,035 atau
85.89 peratus.
PRK Rompin diadakan berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Dr
Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4
April lepas.- BERNAMA