Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap di Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Institusi Pendidikan di Universiti Teknologi MARA hari ini. - Foto BERNAMA |
PERMATANG PAUH – Universiti di negara ini diminta memastikan
mahasiswa mereka yang bakal menamatkan pengajian mempunyai penguasaan
Bahasa Inggeris yang baik sebelum memasuki pasaran pekerjaan.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata penguasaan
Bahasa Inggeris adalah penting ketika ini dan banyak pihak terutama
majikan di sektor swasta yang melahirkan rasa tidak puas hati terhadap
penguasaan bahasa itu di kalangan graduan.
“Ramai graduan bila menulis, boleh buat dengan baik tetapi bila
bercakap ada kekurangan. Lepasan universiti bila temuduga terutama
dengan swasta gagal menjawab soalan dengan baik,” katanya dalam
ucapannya pada Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Institusi Pendidikan di
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh di sini hari ini.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan, berkata oleh itu pihak
universiti perlu mengadakan ujian untuk graduan supaya mereka menguasai
Bahasa Inggeris dengan baik selain Bahasa Melayu.
“Sebelum keluar universiti dalam kelulusan bidang masing-masing,
perlu ada penguatkuasaan yang kuat dalam Bahasa Inggeris. Mereka dah
belajar Bahasa Inggeris tak berhenti sejak sekolah rendah, sekolah
menengah dan kemudian universiti.
“Kemampuan bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan baik perlu untuk
tujuan kebolehpasaran. Kita tak nak ada graduan menganggur kerana tidak
boleh kuasai bahasa Inggeris,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin berkata kerajaan akan terus menjadikan aspek
pembangunan pendidikan sebagai keutamaan dalam memajukan negara ini.
Katanya sejak negara mencapai kemerdekaan, kerajaan Barisan Nasional
(BN) telah menjadikan pendidikan sebagai cara untuk menangani masalah
kemiskinan dan ia terbukti cukup berjaya.
Beliau berkata strategi itu terbukti tepat apabila paras kemiskinan
di kalangan rakyat Malaysia yang lebih 60 peratus sewaktu negara
merdeka, kini turun ke paras yang sangat kecil dalam tempoh 57 tahun.
“Waktu negara mula-mula merdeka, sebahagian besar rakyat negara
ketika itu tidak mendapat peluang pendidikan yang mencukupi. Selepas
merdeka kita cari cara atasi kemiskinan dengan antaranya membekalkan
anak bangsa dengan ilmu pengetahuan supaya mereka dapat keluar daripada
lingkungan kemiskinan,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata walaupun pelbagai usaha dijalankan
dalam meningkatkan kualiti pendidikan di negara ini, masih banyak usaha
yang perlu dilakukan untuk melonjakkan sektor pendidikan agar setanding
dengan negara-negara maju.
Muhyiddin berkata kerajaan juga telah menjalankan usaha supaya bidang
Sains dan Teknologi menjadi bidang yang diberi keutamaan supaya lebih
ramai pelajar menyertainya.
“Ia berkait dengan produktivti dan kemahiran. Di peringkat
kementerian, dalam tahun-tahun akan datang kita akan bina kemudahan
pendidikan vokasional untuk menjadikan bidang ini menarik seperti
bekerjasama dengan industri,” katanya.
Hadir sama pada majlis itu adalah Ketua Setiausaha Kementerian
Pendidikan Tan Sri Dr Madinah Mohamad, Pengerusi Majlis Tindakan
Persekutuan Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman, Naib Canselor
UiTM Tan Sri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar, dan Ketua Pengarah Dewan
Bahasa dan Pustaka Datuk Dr Awang Sariyan. – BERNAMA