VIDEOVIRAL: Bila Gadis "Nerd" Minta Tolong Ajar Memandu...

ALOR SETAR - Mungkin tiada siapa yang menyangka bahawa gadis yang kelihatan "nerd" seperti dia akan melakukan aksi drift yang seterusnya membuatkan beberapa tenaga pengajar kelas memandu lesen L menjerit ketakutan.

Dalam sebuah video yang dimuat naik pada 24 Mac lepas, pemandu rali profesional Malaysia, Leona Chin yang menyamar sebagai pelajar ‘skema’ dan lurus bendul benar-benar membuat beberapa "mangsa prank" menggigil, menjerit ketakutan.

“Ini kereta abang saya,” kata Leona kepada keempat-empat pengajar memandu tentang kereta "sport"nya pada awalnya sebelum memandu.

Mula memandu, gadis Tiong Hua itu berlakon seolah-olah tidak mampu memandu dengan baik, tersengguk-sengguk bagaikan benar-benar tidak pernah memegang stering kenderaan.


“Saya fikir anda perlu berlatih memandu dengan lebih kerap,” kata seorang pengajar lelaki. Chin hanya tersenyum mendengarnya.

Namun, selepas membawa kereta ‘abangnya’ ke sebuah lokasi, Chin bersama-sama dengan pengajar tersebut mula melakukan rutin latihan dan ujian memandu.

Di luar jangkaan pengajar terbabit, Chin mula membuat aksi "spin tyre" seterusnya memasuki fasa pemanduan aksi yang dikenali sebagai "donut".

Leonan turut melakukan aksi yang sama ke atas seorang pengajar wanita, yang menekup mukanya dan menjerit sambil berpaut pada tali pinggang keledar sepanjang masa drift.

Dua lagi tenaga pengajar warga asing pula, bertindak meluru keluar dari kereta selepas aksi ‘donut’ daripada Chin tamat dan mujurlah mereka tidak muntah ketika keluar dari kenderaan yang dipercayai telah diubah suai mengikut spesifikasi kenderaan lumba itu.

“Anda hampir bunuh saya!” teriak seorang pengajar lelaki berbaju kemeja biru. 

Dia juga kelihatan memegang kepala bagaikzn bingung dan tidak percaya dengan apa yang telah dilakukan oleh seorang gadis "nerd" yang mahu diajar memandu itu.

Untuk rekod, Leona sebenarnya bukanlah calang-calang gadis dan dia merupakan salah seorang daripada pelumba pasukan Redbull Malaysia yang sudah menyertai pelbagai temasya rali peringkat kebangsaan.

Sony_Xperia_C3_Leona_Chin_Selfie_in_Car_600

Apa yang dilakukan Leona itu sebenarnya merupakan aksi prank yang dibawakan oleh maxman.tv, di mana semua aksi lasak yang dilakukan telah dipantau tanpa membahayakan nyawa orang awam dan mangsa prank.

Sehingga kini, video prank tersebut sudah menarik lebih 32,000,000 penonton di Youtube dan sudah tentu sedang viral di laman-laman sosial. -Kedahnewscom.