ALOR SETAR - Sememangnya bukan mudah bagi seorang ibu yang kehilangan anak yang dikandung selama 9 bulan di dalam rahim dan kemudiannya bersabung nyawa melahirkan anak tersebut ke dunia.
Namun itulah kasih sayang dan pengorbanan seorang ibu yang tiada tolok bandingnya.
Pun begitu, bagi Ruqayyah Farhani, seorang ibu muda yang baru kehilangan anak tersayang yang kembali ke rahmatullah baru-baru ini, dia masih mampu tersenyum untuk bergambar bagi kali terakhir dengan bayinya, Maryam Farihah Abdullah Mubarak.
Menerusi status di laman Facebooknya, Maryam Farihah baru berusia 14 hari dan dilahirkan kembar dengan adiknya, Marsya Farihah.
"Anak Syurga. Dan insyaAllah akan memberi 'syafaat' buat Baba &
Mamanya. Mama dah redha sayang.. Maryam Farihah binti Abdullah Mubarak,
indah namanya seindah orangnya. Bidadari kuat :').
"Terima kasih Allah di atas pinjamanmu selama 14 hari. Anugerah terindah dalam hidup mama.
"Si adik, Marsya Farihah tengah survive. Doakannnn. Tengok Marsya nanti nampak Maryam jugak, sebab muka sama," tulis Ruqayyah di laman Facebooknya.
Tidak dimaklumkan pula sebab-sebab kematian Maryam Farihah dan kami menjangka sebab bayi berkenaan meninggal dunia tidak dikongsi kerana ibu muda itu benar-benar yakin bahawa ajal dan maut bagi setiap makhluk ciptaan Allah itu sudah termaktub sejak azali lagi.
Ruqayyah yang berasal dari Pahang, begitu redha dan yakin bahawa pemergian Maryam Farihah mempunyai hikmah yang tersendiri dan menggelar anaknya itu sebagai "bayi syurga".
Pada ibu muda yang kini menetap di bumi anbiya di Mesir bersama suaminya, Abdullah Mubarak Hasanuddin yang berasal dari Johor, "bayi syurga"nya itu bakal memberikan syafaat padanya dan suami di akhirat kelak.
Kedahnews.com mengucapkan takziah kepada Ruqayyah di atas pemergian Maryam.
Namun, kami juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ruqayyah atas ketabahan, kesabaran dan tahap keimanan yang begitu tinggi terhadap setiap qadha dan qadar yang telah ditetapkan Allah SWT ke atas hambaNya.
Pada kami, bukan mudah untuk mencapai tahap keimanan sebegitu dan ramai di kalangan ibu muslimah yang hilang punca apabila diuji Allah dengan ujian sehebat yang ditanggung Ruqayyah.
Sesungguhnya segala yang kita miliki di dunia ini, termasuk jasad anak, suami, isteri, harta benda, malah nyawa kita sekali pun hanyalah merupakan pinjaman dariNya dan Allah SWT bebas mengambilnya dari kita pada bila-bila yang Dia kehendaki.
Semoga kita semua diberikan keimanan, ketabahan, kesabaran dan kekuatan sehebat Ruqayyah dan Abdullah Mubarak begitu beruntung memiliki wanita sehebat ibu muda tersebut sebagai isteri.
Kami "salute"..! - Kedahnews.com