Calon PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail |
PERMATANG PAUH - Menjelang hari terakhir kempen pilihanraya bagi Pilihanraya Kecil (PRK) P044 Parlimen Permatang Pauh hari ini menyaksikan semangat juang yang tinggi dan berkobar-kobar dari jentera Pakatan Rakyat, berbanding Barisan Nasional (BN).
Berjaya mengurangkan majoriti BN di PRK Rompin semalam, semangat Pakatan Rakyat begitu berkobar-kobar untuk "membenam" BN di kubu kuat PKR di Permatang Pauh.
Dalam pemantauan yang kami lakukan, jentera-jentera kempen PKR dan Pakatan Rakyat sejak awal subuh lagi telah ligat bergerak di merata pelosok parlimen itu memberi petanda calon pilihan Pakatan Rakyat, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail akan menang dengan majoriti yang lebih besar kali ini.
Jika sebelum ini PKR menang dengan majoriti 11,721 undi pada Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 yang lalu, pada 7 Mei ini, Wan Azizah dijangka bakal memenangi sekitar 15,000 hingga 20,000 majoriti undi.
Dibantu dengan sahabat karibnya, DAP, khususnya Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang mengumumkan beliau akan menjaga Parlimen Permatang Pauh untuk Wan Azizah, undi untuk calon PKR itu dijangka jauh mendahului calon BN, Suhaimi Sabudin.
Suhaimi walaupun merupakan anak muda tempatan di parlimen berkenaan dan berimej bersih, beliau dikatakan bukanlah tandingan Adun Kajang itu yang jelas tidak menetap di Permatang Pauh, sebaliknya di Segambut, Selangor.
Ditambah pula dengan kehadiran dua gadis Melayu DAP, Dyana Sofya Mohd Daud dan Rara yang berimej genit seksi, dijangka ia mampu menaikkan semangat juang Pemuda PAS di Permatang Pauh untuk berkempen untuk PKR.
Malah lebih menarik, dengan tindakan membuat "pusingan U" oleh PAS Permatang Pauh dan Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang untuk kembali menyokong PKR pada pilihanraya kali ini, Wan Azizah dikatakan sudah tersenyum lebar.
Terpalit dengan sedikit kontroversi, jentera PAS dikatakan bergegas dari Rompin ke Permatang Pauh untuk membantu Wan Azizah hari ini walaupun PKR tidak melakukan "pusing U" dan kekal menolak perlaksanaan enakmen hudud di Kelantan.
Juga agak mengejutkan melihat jentera PAS lebih bersemangat membantu Wan Azizah berkempen dan seolah tidak peduli lagi pada maruah Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang sebelum ini teruk dihina oleh PKR di Pulau Pinang.
Jangkaan kami esok, BN akan sekali lagi tewas di Permatang Pauh menyaksikan penguasaan penuh keluarga Anwar - Wan Azizah kekal di parlimen berkenaan dengan majoriti lebih 15,000 undi. -Kedahnews.com