Wan Azizah Sedia Jadi "Imam" Pembangkang


KUALA LUMPUR – Anggota Parlimen Permatang Pauh Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail hari ini berkata beliau sedia menerima jawatan sebagai ketua pembangkang seperti yang dicadangkan Pakatan Rakyat .

Presiden PKR itu berkata beliau akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai perkara itu pada 18 Mei selepas beliau mengangkat sumpah sebagai anggota Parlimen.

“Saya rasa dihormati dan dihargai atas mandat yang diberikan oleh ketiga-tiga parti (PKR, DAP dan PAS daripada Pakatan Rakyat) untuk saya menjadi ketua pembangkang.

“Ya, saya menerima jawatan itu sebab saya pernah menjadi ketua pembangkang sebelum ini,” katanya kepada pemberita di sini.

Dr Wan Azizah merupakan ketua pembangkang dari Mac hingga Julai 2008.

Selepas Dr Wan Azizah memenangi kerusi Permatang Pauh pada pilihan raya umum ke-12, beliau mendapat sokongan Pakatan Rakyat untuk memimpin pembangkang dalam Dewan Rakyat.

Beliau mengosongkan kerusi Permatang Pauh pada Julai 2008 selepas suaminya yang juga Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan hasratnya kembali aktif dalam politik.

Anwar memenangi pilihan raya kecil Permatang Pauh pada pilihan raya kecil 26 Ogos 2008.

Dr Wan Azizah memenangi kerusi itu kembali pada 7 Mei selepas kosong berikutan pensabitan Anwar terhadap tuduhan meliwat bekas pembantu lelakinya dan kini menjalani hukuman penjara lima tahun. – BERNAMA