Wan Azizah Suruh PAS Bersyukur

KUALA LUMPUR – PAS wajar bersyukur dengan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin semalam walaupun kalah kerana masih mampu mengekalkan bilangan undi yang hampir sama dengan undi diperoleh parti itu sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, kejayaan mengekalkan jumlah itu wajar dibanggakan memandangkan pada PRU13 calon PAS meraih 14,926 undi dan undi yang diperolehi kali ini 14,901 hampir sama dengan PRU13.

“PKR mengucapkan tahniah kepada Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di atas di atas PRK Parlimen Rompin semalam yang memberikan isyarat jelas bahawa sokongan kepada Pakatan Rakyat kekal bersama kita.

“Pakatan Rakyat harus terus istiqamah dalam membela dan memperjuangkan kebajikan rakyat. Kita akan terus prihatin dengan suara rakyat dan melaksanakan amanah rakyat sebaik mungkin,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

BN semalam mengekalkan kerusi Parlimen Rompin selepas calonnya, Datuk hasan Ariffin mendapat 23,976 undi sekali gus menewaskan pencabarnya daripada PAS, Nazri Ahmad yang cuma meraih 14,901 undi.