Warga Emas, Anak Diugut 5 Lembaga Hitam Di Bukit Selambau

Besi tingkap yang dipotong tidak disedari mangsa membolehkan suspek menyelinap masuk ke rumah terbabit.
BUKIT SELAMBAU – Seorang warga emas dan anaknya berdepan detik cemas apabila diugut bunuh selepas rumah mereka di Kampung Perak, dekat sini, dipecah masuk perompak.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, Lathipah Omar, 61, berkata, dia bersama anaknya, Munir Mansod, 27, tidur di ruang tamu sebelum didatangi beberapa lembaga hitam.

Menurutnya, ketika itu dia baru sahaja terjaga dari tidur akibat semput lebih kurang jam 3 pagi.

"Selepas sapu ubat di dada, saya baring semula. Namun tak sempat terlelap, muncul beberapa lembaga hitam membuatkan saya terperanjat.

"Saya diminta diam dan turut diacukan pisau oleh penjenayah terbabit," katanya.

Malah katanya, beberapa suspek kemudiannya mengelilingi anaknya sebelum duduk di atas badan Munir yang sedang tidur untuk mengejutkannya.

Munir berkata, dia terjaga dan terkejut apabila diacukan senjata tajam di leher selain diarahkan untuk diam.

"Tiga lelaki menindih saya menyebabkan berlaku kecederaan kecil akibat terkena bucu pisau," katanya.

Menurutnya, dia kemudiannya diikat di bahagian kaki dan tangan menggunakan tali kasut serta wayar kabel manakala tangan dan kaki ibunya diikat dalam keadaan meniarap sementara mulut ditutup.

"Sebaik penjenayah beredar, saya keluar meminta tolong saudara sebelum membuat laporan polis.

"Suspek berjaya melarikan wang tunai, syiling simpanan dalam tabung, dua ekor burung, komputer riba, telefon bimbit dan pelbagai jenis kunci," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Mohd Sabri Mohamad berkata, suspek dipercayai seramai lima orang menggeledah rumah dan menyamun rantai leher serta rantai tangan mangsa.

"Turut dilarikan satu bilah keris dan sebilah pedang samurai simpanan keluarga, dua komputer riba, burung peliharaan dan dua telefon bimbit.

"Pemeriksaan lanjut mendapati suspek menyelinap masuk ke rumah mangsa melalui tingkap bilik belakang yang dipotong besi pengadang terlebih dahulu sebelum mengambil kunci mangsa dan membuka pintu dapur. Kerugian dianggarkan mencecah RM50,000,” katanya.

Sumber: Sinar Harian