PERMATANG PAUH - "Inilah lelaki itu," kata seorang lelaki Cina yang menjadi mangsa pukul "ala-samseng" dalam satu insiden pada hari ke-8 berkempen Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh, di sini.
Seorang lelaki berbangsa Cina mendakwa dirinya menjadi mangsa politik ganas parti pembangkang apabila dirinya dipukul tiga orang "samseng" dalam satu kejadian yang berlaku di Taman Kelisa Emas, Seberang Jaya, di sini.
Mangsa kejadian, Gui Guat Lye, 62, dalam satu sidang media sebentar tadi berkata, kejadian tersebut berlaku sejurus selepas penceramah MCA dari Kedah, Dr Leong Yong Kong, selesai memberi ceramahnya kira-kira jam 9.02 malam semalam.
Katanya, selesai menyampaikan ucapan, Gui mengiringi Dr Leong bersalaman dengan kira-kira 30 orang yang hadir di majlis kempen ceramah politik berkenaan sebelum dihampiri beberapa individu yang bertanya padanya tentang beberapa isu semasa.
Gui berkata, Exco Kerajaan Negeri Kedah dari MCA itu telah menjawab soalan-soalan yang diajukan dengan baik sambil menegaskan pendirian parti komponen itu tentang beberapa perkara berhubung isu-isu semasa.
Tiba-tiba kata Gui, seorang dari individu berkenaan bertindak memaki hamun pemimpin MCA Negeri Kedah itu.
"Tiba-tiba saja dia kata.. 'Doktor.. kamu makan tahi, kah? Kamu makan tahi, kah?," kata Gui.
Justeru mendengar lelaki itu memaki hamun Dr Leong, Gui sebagai tuan rumah cuba menenangkan keadaan dan memohon supaya individu berkenaan menghormati tetamu yang dijemput ke majlis berkenaan.
Namun katanya, tindakannya itu tidak mendapat kerjasama dari individu-individu berkenaan dan pertengkaran berlaku antara mereka.
Mungkin kerana gagal mematahkan hujah, ketiga-tiga lelaki berkenaan naik berang dan bertindak menarik bajunya hingga koyak dan menumbuk di muka Gui sehingga terjatuh, serta memukul Gui dengan sebatang kayu.
Bagaimanapun, insiden berkenaan berjaya dileraikan kemudian dan mereka bergegas ke Balai Polis Bukit Mertajam untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa atas tindakan ganas tersebut.
Gui mendakwa dirinya cedera dengan luka-luka serta bengkak-bengkak di beberapa bahagian tubuh termasuk jari dan lengan kirinya.