Lelaki warga Jerman, Dietmar Ross |
SEPANG – Seorang lelaki warga Jerman dijatuhi hukuman penjara sebulan
selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan gangguan ketika
berada di dalam pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH179 di Mahkamah
Sesyen, di sini, hari ini.
Tertuduh, Dietmar Ross, 54, membuat pengakuan itu selepas memahami
pertuduhan dibacakan jurubahasa di dalam bahasa Inggeris di hadapan
Hakim Aizatul Akmar Maharani.
Mengikut pertuduhan, ahli perniagaan itu didakwa dengan cuai
membahayakan anggota kru penerbangan udara, Phuah Soh Kin, 48, dengan
meninggikan suara dan tidak mengikut peraturan dalam pesawat serta
mengeluarkan kata-kata kesat terhadapnya dalam kejadian pada jam 11.45
malam 9 Mei lalu ketika dalam pesawat MH179 penerbangan dari Kuala
Lumpur ke Colombo, Sri Lanka.
Dietmar didakwa mengikut Peraturan 70(1) Peraturan-Peraturan
Penerbangan Awam 1969, yang boleh dihukum di bawah Peraturan 188(7)
peraturan yang sama. Peraturan itu memperuntukkan hukuman penjara dua
tahun dan denda sehingga RM50,000.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Uma Devi
Balasubramaniam, manakala tertuduh diwakili peguam Zaflee Pakwanteh.
Hakim menetapkan hukuman penjara bermula dari tarikh tertuduh ditahan. – Berita Harian