SUNGAI PETANI - Waris pelajar sebuah sekolah agama di Pendang memohon pihak tertentu menyiasat berhubung kes keracunan makanan membabitkan lebih 50 pelajar, Jumaat lalu.
Siti Aishah Aziz, 50, mendakwa, dia menerima maklumat sekolah sengaja membiarkan pelajar tahfiz tidak mendapatkan rawatan biarpun ada yang mengadu sakit perut, cirit-birit, muntah dan loya sehinggalah sakit menjadi serius pada hari ketiga.
Menurutnya, dia hanya mengetahui kejadian itu apabila anaknya dibenarkan pulang ke rumah selepas mendapat cuti sakit selama tiga hari.
“Anak memaklumkan dia keracunan makanan selepas makan nasi berlaukkan gulai daging di kantin.
"Dia beritahu pihak pengurusan tidak bawa pelajar yang sakit ke klinik kerajaan sebaliknya hanya beli ubat di farmasi,” katanya.
Menceritakan kejadian itu, anaknya dikenali sebagai Arifudin, 15, memaklumkan, mula sakit perut kira-kira jam 6 pagi, Sabtu, namun dia dan 16 pelajar lain hanya dibawa ke sebuah klinik swasta kira-kira jam 7 petang.
“Disebabkan tiada doktor di klinik itu, kami dibawa ke Klinik 1Malaysia, namun dinasihatkan supaya terus dirujuk ke hospital.
“Bagaimanapun, kami yang masih keletihan hanya dibawa ke farmasi dan diberikan makan ubat sebelum dibawa pulang semula ke asrama,” katanya.
Arifudin berkata, akibat sakit yang makin serius pada keesokan hari (Ahad), seramai 19 pelajar dibawa ke Klinik Kesihatan Sungai Tiang dan disusuli 15 pelajar lagi yang turut mengadu sakit.
"Semua yang dibawa mengalami simptom agak teruk sehingga ada yang terbaring lesu akibat banyak kali ke tandas dan muntah sejak Jumaat.
“Selepas diperiksa, kami dibenarkan pulang kerana diberikan cuti sakit selama tiga hari,” katanya.
Rakannya, yang hanya mahu dikenali sebagai Mamat, 15, berkata, seramai 24 lagi pelajar dibawa ke Klinik Kesihatan, Isnin lalu, kerana masih mengadu sakit.
"Mereka diberikan cuti sakit sehari dan tidak dibenarkan pulang ke rumah serta dilarang beritahu ibu bapa masing-masing," katanya.
Sementara itu, Samsudin Arifin, 57, berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan supaya membawa anaknya pulang, Ahad lalu.
“Apabila sampai di sekolah, ramai pelajar sakit perut dan ada yang sudah dibenarkan pulang.
"Tapi, saya tak puas hati sebab hanya mengetahui kejadian itu tiga hari selepas anak saya sakit,” katanya.
Menurutnya, sebagai waris, dia kecewa dengan tindakan sekolah lambat memaklumkan ibu bapa selain melarang pelajar menghubungi waris tanpa dibawa menerima rawatan.
“Anak memaklumkan mereka sering dijamu dengan makanan tidak sihat, sayur layu dan ayam busuk.
"Jadi, kita gesa pihak berkaitan mahupun pejabat kesihatan buat pemeriksaan kualiti makanan yang dihidangkan bagi mengelakkan kejadian serupa berulang," katanya.
Sementara itu, waris mangsa turut membuat laporan mengenai kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda dan Balai Polis Gurun, kelmarin.
Bagaimanapun, pengurusan sekolah enggan mengulas lanjut berhubung kejadian. -Sinar Harian