Waris Mahu Wakil Kelab MyVi Hubungi Segera, Bela 2 Anak Yatim Piatu

ALOR SETAR - Adik bongsu mangsa kemalangan menyayat hati melibatkan 6 buah MyVi yang berlumba baru-baru ini meminta wakil-wakil kelab MyVi, Familia Myvi Club, supaya segera menghubunginya untuk sama-sama membantu dan membela nasib dua anak kecil yang kini menjadi yatim piatu.

Dalam kenyataan Muhammad Faizznur Asyraf Husain di laman Facebooknya, dia menyatakan bahawa kedua anak kecil tersebut kini kehilangan kedua ibubapa mereka dan perlu pembelaan sewajarnya dari kelab tersebut.

"Saya faiz adik bongsu si mangsa dlm kejadian mlm td..jasad abg saya,kakak ipar saya dan baby annisa telah selamat dikbumikn ptang td..jadi secara langsung tinggal 2 org puteri dibawah jagaan saya..

"Maka saya mohon..agar pihak yang terlibat..sila tampil kpd kluarga kami..sy hanya mahu ank-ank arwah abg saya nasibnya terbela..mereka masih kecil dan di tanggung sepenuh oleh arwah..kini tanggungan betukar tangan dan menjadi tanggungjawab saya..

"Mohon kepada ADMIN CLUB MYVI..tampil utk berunding dgn kami..kerjasama dari anda yg perhatin amat2lah saya hargai," tulisnya.


Muhammad Faizznur turut memuat naik nombor telefonnya bagi memudahkan admin kelab berkenaan menghubunginya.


Bagaimanapun, tiba-tiba muncul pula sebuah laman fanpage, "Keadilan Untuk Familia Myvi" yang dikatakan cuba membela kelab berkenaan yang telah teruk dikecam oleh orang ramai di seluruh negara.

Dalam insiden itu, pemandu Pajero, Fairuz Nizam Husain, 35, isteri, Nova Safitri Azhari, 27, dan bayi mereka berusia tujuh bulan, Nur Firuza Annisa maut selepas kenderaan mereka terbalik dan berpusing dipercayai akibat dilanggar kereta Myvi yang sedang berlumba di lebuhraya.

Pihak polis dilaporkan masih menyiasat kejadian tersebut dan menerusi laporan media elektronik, pihak berkuasa menjangkakan akan menyiapkan kertas siasatan kes terbabit pada Selasa ini.

Pemergian pasangan itu meninggalkan dua orang anak yang masih kecil, Nur Firuza Amira, 7, dan Nur Firuza Aqila, 4, yang masih terasa kehilangan ibu bapa mereka. -Kedahnews.com