Wawa Hamil Anak Kedua, Harap Anak Perempuan Pula Kali Ini


ALOR SETAR - Pelakon, Wawa Zainal yang kini disahkan hamil anak kedua mengatakan dia berharap kandungan kali ini merupakan seorang bayi perempuan.

Wawa dan suami, Aeril Zafril sudah memiliki cahaya mata lelaki, Ahmad Fakharuddin Attar hasil perkahwinan mereka tiga tahun lalu.

"Kandungan saya masih di peringkat awal. Keadaan kesihatan sekarang juga tidak menentu. Jadi, doakan saja semoga semuanya selamat sehingga saya bersalin nanti. 

"Harapnya kali ini perempuan. Kalau dapat sepasang, seronok juga," katanya Wawa yang dipetik dari laporan Harian Metro hari ini.

Pasangan romantis yang pernah diuji dengan kisah kontroversi ini juga dilihat sudah semakin aktif mewarnai dunia seni lakonan tempatan walaupun pelbagai kisah hangat pernah melanda hidup mereka sebelum ini.

Tahniah Wawa dan Aeril yang kini menunggu kelahiran ahli keluarga baru yang bakal dikurniakan Allah SWT dan semoga kelahiran anak kedua ini dapat menyerikan lagi rumah tangga kalian. -Kedahnews.com