GEORGE TOWN – Seorang ibu tunggal dan tiga anaknya tinggal sehelai
sepinggang apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Telok
Tempoyak, Batu Maung dekat sini awal pagi tadi.
Sapiah Wan Chek, 46, berkata lima motosikal jirannya yang diparkir di
bawah rumah pusaka peninggalan ibu bapanya turut musnah dalam kejadian
1.40 pagi itu.
Beliau berkata kebakaran dipercayai berpunca daripada api ubat nyamuk
yang kemudian menyambar fius elektrik dalam bilik tidur anak
perempuannya.
“Anak saya terjaga dari tidur bila terasa bahang api dan dia
cepat-cepatturun ke bawah. Masa itu saya belum tidur lagi,” katanya
kepada pemberita.
Beliau yang bekerja di kilang kopi di Bayan Lepas berkata sebaik
mereka sekeluarga keluar dari rumah, api telah menjulang tinggi sehingga
turut menyambar pokok mempelam dan bumbung perhentian bas yang terletak
di tepi rumah mereka.
Sapiah berkata kebakaran turut memusnahkan barangan persekolahan anaknya.
“Anak saya di Tingkatan 3 ada ujian PT3 bulan Jun ini, seorang lagi
akan hadapi peperiksaan percubaan SPM pada hujung bulan Ogos. Habis
terbakar rak buku dan meja belajar mereka,” katanya.
Sementara itu Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bayan
Baru, Mohd Rohizat Yusof berkata rumah papan itu musnah 90 peratus dan
yang tinggal hanya sedikit struktur pada bahagian batu bata.
Pihaknya sempat mengalih kereta Perodua Kancil mangsa yang terbakar kira-kira 30 peratus, katanya. – BERNAMA