KUALA LUMPUR – Bekas penyanyi kumpulan Slam, Zamani Ibrahim yang
sedang menjalani rawatan pemulihan di pusat pemulihan Persatuan Pengasih
Malaysia di Jalan Syers, di sini, semakin pulih.
Zamani, 44, yang telah menjalani pemulihan selama tiga bulan berkata
beratnya yang sebelum ini 45 kilogram meningkat sebanyak 11 kilogram dan
program pemulihan di pusat itu menjadikannya lebih positif dari segi
mental dan fizikal.
“Dari segi pemulihan dadah, saya semakin sihat. Alhamdulillah tetapi saya sekarang mengalami sakit tulang belakang bengkok.
Penyakit itu memang sudah lama saya hidapi, tetapi apa yang penting
sekarang minda saya tenang dan lapang… itu yang paling saya bersyukur,”
katanya pada sidang media bagi memaklumkan perkembangan terkininya.
Beliau turut memaklumkan tempoh beliau berada di pusat berkenaan
belum diketahui kerana ia bergantung kepada penilaian pihak pengurusan.
“Perubahan yang paling ketara saya alami sepanjang berada di sini
ialah dalaman diri saya iaitu kerohanian di mana saya perlu berjuang
melawan diri sendiri (melawan nafsu dadah)… dan saya berazam untuk
berubah bagaimanapun saya masih perlu meneruskan rawatan ini,” katanya.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakannya termasuk
penyanyi Datuk Jamal Abdillah dan vokalis OAG Mohd Radhi Razali yang
memberi sokongan moral kepadanya.
Zamani yang turut mengakui kesilapannya kerana terjebak dalam
penyalahgunaan dadah turut memohon maaf kepada peminatnya kerana
tindakannya itu mengecewakan mereka.
Turut hadir pada sidang media itu Presiden Pengasih Datuk Mohd Yunus
Pathi, Jamal Abdillah, Radhi OAG, abang Zamani iaitu Zulfazil Ibrahim
dan peguam kepada Zamani, Ahmad Zaharil Muhaiyar.
Sementara itu, Mohd Yunus berkata Zamani menunjukkan perubahan yang
memberangsangkan dan pihaknya sedang berusaha untuk membantu beliau
pulih sepenuhnya dan kembali kepada masyarakat bagi meneruskan kariernya
sebagai penyanyi.
Zamani Ibrahim atau lebih mesra dikenali sebagai Zamani (Slam) dan
pembantu peribadinya, Nur Juliana Abdul Rani, masing-masing didenda
RM5,500 atau 18 bulan penjara selepas mengaku bersalah di Mahkamah
Majistret di sini, terhadap pertuduhan memiliki dan mengambil dadah pada
21 Jan lepas. – BERNAMA