Zon Larangan Merokok Akan Diperluas

KUALA LUMPUR – Peraturan larangan merokok akan diperluaskan di semua kedai makan dan restoran seluruh negara, walaupun ia merupakan premis terbuka dan tidak berhawa dingin.

Kedai makan dan restoran itu termasuk gerai mamak, kopitiam dan medan selera.

Menurut satu kenyataan di laman web Kementerian Kesihatan, selain kedai makan dan restoran, ia turut akan mewartakan taman negara dan taman awam sebagai tempat dilarang merokok di Malaysia.

Cadangan mengenai larangan berkenaan akan memberi satu lagi tamparan hebat buat perokok yang pada masa ini sudah pun dilarang merokok di restoran berhawa dingin, pusat membeli-belah dan laluan pejalan kaki berbumbung serta kawasan rehat dan rawat (R&R) di sepanjang lebuhraya.

Persatuan-persatuan pemilik kedai kopi membantah cadangan larangan itu dan menggesa supaya ia dilaksanakan secara beransur-ansur selama dua tahun dan premis yang terlibat dibenarkan untuk mempunyai kawasan merokok di bahagian belakang atau di tempat lain.

Pemilik-pemilik restoran turut membantah dengan menyifatkan bahawa mereka akan mengalami kerugian sebaik sahaja larangan itu dilaksanakan.

Mereka menggesa pihak berkuasa supaya membenarkan pemilik premis membuat pemilihan beroperasi sebagai kedai makanan yang dilarang merokok atau tidak.

Menurut Kementerian Kesihatan, larangan itu sejajar dengan Malaysia sebagai sebuah negara yang telah menandatangani perjanjian WHO Framework Convention for Tobacco Control (FCTC) adalah menjadi tanggungjawab semua pihak memastikan implementasi terhadap Artikel 8 perjanjian ini iaitu melindungi golongan bukan perokok dari bahaya asap rokok dipatuhi.

Berdasarkan statistik kementerian itu sebelum ini, dianggarkan 100,000 rakyat Malaysia meninggal dunia setiap tahun disebabkan penyakit yang berkaitan dengan merokok.

Kementerian Kesihatan berkata, Kaji Selidik Tembakau Audit Global (GATS) yang dijalankan di Malaysia pada 2011, di mana 83.5 peratus responden mahu 100 peratus bebas dari asap rokok di tempat awam.

Bagaimanapun, kementerian itu masih mahu mendapatkan maklum balas daripada orang ramai sama ada perokok dibenarkan untuk merokok di kawasan khas di kedai makan atau langsung tidak dibenarkan berbuat demikian.

Ia juga mahu mendengar pandangan orang ramai sama ada pemilik premis makanan perlu bertanggungjawab sekiranya pelanggan mereka melanggara peraturan itu.

Maklum balas mengenai cadangan larangan merokok di semua taman turut dilihat, menurut kenyataan di laman web www.moh.gov.my.

Orang ramai boleh memberikan pandangan mereka mengenai perkara ini di laman web berkenaan sehingga 19 Mei ini. – mStar